LAHAD DATU: Empat lelaki, termasuk seorang warga asing, ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah kampung di Jalan Segama, di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan selepas laporan polis dibuat mangsa pada Selasa (16 Jun).
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada 9 Mei lalu kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Kampung Batu 1, Jalan Segama.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi mangsa perbuatan rogol oleh suspek secara bergilir-gilir.
“Mangsa tampil membuat laporan polis selepas kejadian itu diketahui oleh ahli keluarganya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Katanya, semua suspek telah direman selama tujuh hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan keluarga agar sentiasa memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada gejala sosial yang tidak sihat.



