KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.
Dalam operasi bersepadu yang dijalankan di Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Sandakan, baru-baru ini seramai 89 warga asing telah ditahan.
Operasi yang dilaksanakan bersama agensi penguat kuasa itu melibatkan pemeriksaan terhadap lebih 400 individu.
Di Kota Kinabalu, operasi bersama Unit Perlesenan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memeriksa seramai 234 individu dengan 15 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah serta melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Tangkapan di Kota Kinabalu melibatkan 14 warga Filipina terdiri daripada tujuh lelaki dewasa dan tujuh perempuan dewasa, serta seorang wanita warga Indonesia.
Sementara itu, di Lahad Datu, operasi bersepadu bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memeriksa seramai 141 individu dengan 62 warga asing ditahan.
Mereka terdiri daripada 54 warga Filipina, iaitu 33 lelaki dewasa, 14 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan, serta lapan warga Indonesia membabitkan lima lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa.
Di Sandakan pula, operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Sandakan memeriksa seramai 66 individu dengan 12 warga asing ditahan.
Tangkapan itu melibatkan 10 warga Filipina, terdiri daripada tiga lelaki dewasa dan tujuh perempuan dewasa, serta dua warga Indonesia membabitkan seorang lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa.
“JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara,” menurut kenyataan itu.



