HomeUtamaLebih 2,000 aduan isu dalam talian direkodkan di Sabah

Lebih 2,000 aduan isu dalam talian direkodkan di Sabah

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sebanyak 2,432 aduan berkaitan isu dalam talian telah direkodkan di Sabah, sekali gus menunjukkan ancaman jenayah siber masih menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, statistik yang direkodkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu melibatkan pelbagai kes termasuk penipuan dalam talian (scam) dan penggodaman akaun.

“Bagi kes penipuan dalam talian sahaja, sebanyak 321 aduan direkodkan pada tahun lalu  dan 152 aduan lagi setakat suku kedua tahun 2026.

“Manakala bagi kes penggodaman, sebanyak 159 aduan direkodkan pada tahun lalu dan 30 aduan setakat suku kedua tahun ini.

“Statistik ini mengingatkan kita bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa sekiranya tidak mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat 2026 Daerah Kota Kinabalu, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, ibu bapa dan golongan muda disaran agar lebih peka terhadap pelbagai ancaman siber yang semakin berleluasa seiring dengan perkembangan teknologi digital dan penggunaan internet dalam kehidupan harian.

Beliau berkata, usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengguna internet mampu melindungi diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

“Menerusi penganjuran karnival ini, masyarakat setempat dapat diberi pendedahan mengenai risiko yang wujud di alam maya termasuk kes buli siber, penipuan dalam talian dan penggodaman yang semakin membimbangkan.

“Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak tentang keselamatan siber. Pada masa kini, kita melihat semakin banyak kes berkaitan buli siber, scam dan penggodaman berlaku ketika pengguna melayari internet.

“Justeru, program seperti ini penting untuk mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa jenayah siber,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah Motor Day 9.0 dijadual berlangsung 5 dan 6 September di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular