HomeUtamaMural baharu perindah landskap bandar Tawau

Mural baharu perindah landskap bandar Tawau

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Usaha mencantikkan bandar melalui penghasilan mural berjaya menampilkan satu lagi karya seni awam yang memperindah landskap bandar ini sekali gus mewujudkan tarikan visual baharu kepada penduduk dan pelancong.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif yang digerakkan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menerusi Jawatankuasa Kecantikan Bandar itu wajar diberi pujian kerana berjaya mengubah wajah bangunan lama menjadi lebih menarik.

Nizam (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada pelukis mural, Andi Syafie Andi Parentah, pada majlis itu.

Menurutnya, projek berkenaan direalisasikan hasil kerjasama antara MPT, syarikat Nutriplus dan pemilik bangunan, William Chin, melalui sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Sebelum ini dinding bangunan ini berada dalam keadaan yang kurang menarik, namun melalui kerjasama semua pihak ia berjaya ditransformasikan menjadi sebuah karya seni yang indah dan mampu menceriakan persekitaran bandar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Mural Street Art Tawau di Dataran Bangunan Generise, Jalan Haji Karim, Fajar, di sini semalam.

Mural tersebut dihasilkan oleh pelukis tempatan berpengalaman, Andi Syafie, 30, yang telah menghasilkan pelbagai karya seni mural di bandar-bandar seluruh negara.

Dalam pada itu, Nizam turut dimaklumkan bahawa mural berkenaan merupakan mural keempat yang dihasilkan oleh pelukis terbabit di Tawau.

Katanya, usaha memperindah bandar melalui seni mural perlu diteruskan dengan penglibatan lebih ramai pemilik bangunan bagi mewujudkan suasana bandar yang lebih ceria, moden dan mesra pelancong.

“Apabila seseorang mengunjungi Tawau dan melihat keunikan serta keindahan bandar ini, ia akan meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan dan mendorong mereka untuk kembali berkunjung pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata projek mural bukan sahaja berperanan mempercantikkan bandar, malah mampu menjadi platform untuk mengembangkan ekonomi kreatif dalam kalangan belia.

Menurutnya, bakat dan kreativiti yang dimiliki golongan muda perlu terus disokong kerana ia berpotensi menjana pendapatan serta mewujudkan peluang ekonomi baharu.

“Jika kemahiran dalam bidang seni dan kreativiti dapat diperkasakan, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada individu tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat, negeri dan negara,” katanya.

Beliau turut menggesa pemilik bangunan di daerah ini supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam aspek kebersihan, keselamatan dan kecantikan bandar.

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan Tawau terus dikenali sebagai bandar yang bersih, selamat dan indah, sekali gus menjadi destinasi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular