KOTA KINABALU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) mencatat prestasi kewangan terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan ini apabila hampir menggandakan hasil dan merekodkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 480 peratus bagi tahun kewangan berakhir 2025.
Pencapaian itu diumumkan pada Majlis Town Hall SEDCO 2026 yang menghimpunkan pengurusan serta kakitangan bagi menilai pencapaian organisasi dan memperincikan hala tuju strategik dalam memperkukuh peranannya sebagai pemacu pembangunan ekonomi negeri.
Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng berkata kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan transformasi yang dilaksanakan hasil kerjasama seluruh warga SEDCO serta sokongan kepimpinan Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah.
Bagi tahun kewangan 2025, SEDCO merekodkan hasil sebanyak RM33.9 juta berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM21.1 juta daripada RM3.6 juta.
Pada masa sama, pendapatan dividen daripada anak-anak syarikat meningkat kepada RM26.2 juta atau naik 85 peratus, selain rizab tunai bertambah sebanyak RM27 juta dan keuntungan terkumpul mencecah RM99.2 juta walaupun pembayaran dividen kepada kerajaan negeri diteruskan.
Menurut beliau, pencapaian itu bukan sekadar kejayaan dari sudut angka kewangan, sebaliknya mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan organisasi untuk terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah.
SEDCO turut memaklumkan bahawa sebanyak RM10 juta telah disalurkan kembali kepada kerajaan negeri pada 2025 menerusi pembayaran dividen dan bayaran balik pinjaman, sekali gus antara pulangan tertinggi yang pernah diberikan kepada kerajaan negeri dalam tempoh beberapa tahun.
Berikutan itu, SEDCO menetapkan sasaran untuk meningkatkan sumbangan kepada RM20 juta pada 2026 dan RM30 juta pada 2027.
Dalam majlis sama, SEDCO mengiktiraf sumbangan anak syarikat dan syarikat bersekutu yang membantu meningkatkan prestasi kumpulan, antaranya CIS Cement Industries, Nippon Paint Sabah, Hyatt Regency Kinabalu, 1 Care Consortium, Perkasa Hotels, Sabah Urban Development Corporation, Perkasa Realty, SEDCO Travel, SEDCOVEST, Perkasa Trading dan SEDCO Precast.
Antara keutamaan strategik yang akan terus diberi tumpuan termasuk memperkukuh pembangunan usahawan Bumiputera menerusi Program Pembangunan Usahawan Bumiputera Holistik, memacu pembangunan perindustrian, memperkasakan budaya kerja berasaskan petunjuk prestasi utama (KPI), meningkatkan tadbir urus korporat serta merealisasikan potensi pembangunan dan peluang hasil bernilai kira-kira RM1 bilion dalam saluran projek kumpulan.
SEDCO turut menyatakan komitmennya untuk terus memperkukuh pembangunan modal insan, perancangan penggantian kepimpinan dan keupayaan organisasi bagi memastikan perbadanan itu kekal berdaya saing serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Majlis Town Hall 2026 diakhiri dengan mengajak warga SEDCO supaya terus memperkukuh kerjasama dan momentum bagi memastikan organisasi itu terus memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran mampan Sabah.



