HomeUtamaPenurunan harga diesel bukti reformasi ekonomi Kerajaan Madani berhasil – Mustapha

Penurunan harga diesel bukti reformasi ekonomi Kerajaan Madani berhasil – Mustapha

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Keputusan Kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter mulai Julai depan membuktikan bahawa reformasi ekonomi dan langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan Kerajaan Madani kini mula memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu membuktikan pendekatan kerajaan dalam melaksanakan subsidi bersasar berada di landasan yang tepat, khususnya dalam memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Beliau berkata, penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengagihan subsidi berjaya meningkatkan kecekapan sistem penyampaian selain mengurangkan ketirisan yang selama ini membebankan kewangan negara.

“Penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan membolehkan bantuan diberikan secara lebih adil dan berkesan kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping mengekang aktiviti penyeludupan serta penyalahgunaan subsidi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pengumuman penurunan harga diesel itu hadir pada waktu yang mencabar apabila pasaran tenaga dunia masih berdepan ketidaktentuan susulan perkembangan geopolitik semasa dan konflik yang berlarutan di Asia Barat.

Katanya, situasi tersebut memerlukan setiap negara merangka strategi jangka panjang bagi menjamin keselamatan tenaga dan mengekalkan kestabilan ekonomi domestik.

Sehubungan itu, Mustapha berkata usaha Malaysia memperkukuh kerjasama dengan negara pengeluar tenaga utama seperti Russia dan Turkmenistan merupakan langkah proaktif yang mampu meningkatkan daya tahan sektor tenaga negara.

“Hubungan strategik yang dibina dengan negara-negara pengeluar tenaga membolehkan Malaysia memperoleh jaminan bekalan yang lebih stabil serta mengurangkan kesan turun naik pasaran tenaga global terhadap ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menurunkan harga diesel bersubsidi juga mencerminkan keberkesanan dasar ekonomi serta hubungan antarabangsa yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, pelaksanaan reformasi fiskal dan ekonomi secara berperingkat membolehkan kerajaan mengurus sumber negara dengan lebih cekap tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

“Apabila hasil reformasi mula diterjemahkan dalam bentuk penurunan kos yang ditanggung rakyat, ia menunjukkan dasar yang dilaksanakan kerajaan bukan sahaja memperkukuh kedudukan ekonomi negara, malah membantu meringankan tekanan kos sara hidup,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan dijangka jimat RM2 bilion setahun menerusi Budi Madani Diesel –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular