LEDANG: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan institusi beraja Johor sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan harmoni, di sebalik pelbagai spekulasi yang tular kebelakangan ini.
Perdana Menteri menyatakan rasa terharu dan menghargai keterbukaan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menyifatkan beliau sebagai seorang sahabat.
“Saya terima baik kerana Pemangku Sultan Johor sebut PMX, Anwar Ibrahim ini sahabat saya. Apa lah saya ini, anak kampung Cerok Tok Kun… tapi seorang Pemangku Raja anggap saya sebagai sahabat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengumuman Calon PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 di Padang Bukit Gambir Extreme Park di sini malam tadi.
Anwar menegaskan beliau menerima baik pengiktirafan tersebut, sekali gus menepis dakwaan pihak tertentu kononnya wujud keretakan hubungan antara pemimpin kerajaan dan pihak istana.
Kenyataan terbaharu ini dipercayai bagi meredakan spekulasi susulan kritikan terbuka Tunku Mahkota Ismail terhadap pentadbiran kerajaan baru-baru ini, termasuk isu berhubung beberapa projek pembangunan yang didakwa tersangkut sejak tahun 2018.
Mengulas mengenai perkara itu, Anwar menegaskan bahawa isu masa lalu tidak sewajarnya dituding kepada pentadbiran beliau atau Pakatan Harapan.
“Kalau 2018 dan sebelumnya dan selepasnya, jangan tanya Anwar, jangan tanya Pakatan Harapan, tanya Barisan Nasional dan Perikatan Nasional,” katanya sambil mengingatkan semua pihak agar tidak melaga-lagakan hubungan demi kepentingan politik.
Menjelaskan pendiriannya, Anwar menegaskan bahawa di bawah sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan beliau sebagai Perdana Menteri sentiasa bersedia untuk menghadap, mendengar nasihat, serta memberikan penjelasan balas secara berhemah.
“Kalau baginda tegur pun, kita terima baik. Kalau runding, kita runding dengan baik dan kita menghadap dan jelaskan. Itu pendirian saya selama ini,” katanya.
Beliau menambah bahawa ruang untuk bersetuju mahupun berbeza pandangan sentiasa diraikan mengikut sempadan perlembagaan yang jelas, dan mengingatkan semua parti yang bertanding agar bersaing secara sihat tanpa mengheret institusi beraja ke dalam kancah kempen politik.



