Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Satu video tular di media sosial yang didakwa memaparkan kejadian buli di sebuah asrama sekolah rendah di Tenom mencetuskan kebimbangan orang ramai dan mengundang gesaan supaya tindakan segera diambil.
Rakaman berdurasi kira-kira satu minit 30 saat itu menunjukkan murid berkenaan dalam keadaan menangis dan rambutnya ditarik.
Video berkenaan turut memaparkan kaki mangsa ditendang-tendang dan kepalanya dipukul sebelum dia diarahkan mencuci muka selepas menangis.
Seorang pemilik akaun media sosial mendakwa kejadian itu berlaku di sebuah asrama sekolah rendah di Tenom dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit.
Pemilik akaun itu turut mendakwa keluarga mangsa hanya mengetahui mengenai kejadian berkenaan selepas video tersebut dikongsikan kepada mereka.
Beliau turut memaklumkan bahawa ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan berkata pegawai penyiasat sedang menjalankan siasatan.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin pula berkata pihaknya turut menerima laporan mengenai kejadian itu dan masih menunggu laporan lengkap.
Video tular itu muncul ketika perhatian umum masih tertumpu kepada inkues kematian Zara Qairina Mahathir, yang mencetuskan perbincangan meluas mengenai keselamatan pelajar dan isu buli dalam kalangan remaja.
Ia juga berlaku hanya beberapa hari selepas Tribunal Anti-Buli dilancarkan pada 16 Jun lalu.
Tribunal Anti-Buli diwujudkan di bawah Seksyen 25 Akta Anti-Buli 2026 menyediakan saluran bagi mangsa buli untuk mendapatkan keadilan secara mudah, cepat dan tanpa kos bagi kejadian buli yang berlaku selepas 1 Mac 2026.
Selain mengeluarkan perintah pampasan atau permohonan maaf kepada mangsa, tribunal itu juga mempunyai kuasa mengarahkan pelaku mengikuti program pemulihan bagi memutuskan kitaran buli serta mengelakkan kejadian berulang.


