HomeUtamaLapor jika ada penjualan diesel subsidi secara haram - Masidi

Lapor jika ada penjualan diesel subsidi secara haram – Masidi

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Rakyat khususnya di negeri ini diseru agar memainkan peranan membantu membendung ketirisan diesel bersubsidi dengan melaporkan kegiatan penjualan diesel secara haram kepada pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tindakan itu penting bagi memastikan manfaat subsidi diesel terus dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

Beliau berkata, isu ketirisan diesel bersubsidi bukan sahaja memberi kerugian kepada kerajaan, malah turut menjejaskan rakyat kerana bekalan yang sepatutnya diagihkan kepada pengguna layak boleh berkurangan.

“Yang penting ialah keberkesanan pelaksanaan skim ini. Saya rasa setiap orang Sabah perlu berusaha keras untuk memastikan tidak ada ketirisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri sesi taklimat media pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Selasa.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasarkan data yang dibentangkan Kementerian Kewangan (Persekutuan), terdapat kehilangan besar melibatkan diesel subsidi yang menimbulkan persoalan mengenai bagaimana ketirisan itu berlaku.

“Takkanlah orang Sabah kuat makan diesel atau guna diesel sebanyak itu. Jadi ia mesti pergi ke tempat lain,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya ketirisan dapat dikurangkan, bukan sahaja kerajaan akan mendapat manfaat melalui pengurangan perbelanjaan subsidi, malah rakyat juga akan menerima kesan positif menerusi bekalan yang lebih terjamin.

Katanya, rakyat perlu memahami bahawa setiap penyalahgunaan subsidi akhirnya akan memberi kesan kepada masyarakat sendiri.

“Apabila ketirisan itu hilang, bukan sahaja kerajaan yang rugi tetapi sebenarnya rakyat pun rugi kerana akan ada kurang diesel yang boleh diagihkan kepada pengguna yang layak,” katanya.

Masidi berkata, kerajaan Sabah dan Persekutuan sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada rakyat berkaitan pelaksanaan subsidi diesel bersasar.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan skim berkenaan berjalan dengan baik serta mencapai matlamat mengurangkan ketirisan.

“Kita terbuka kepada cadangan. Kalau ada maklum balas yang boleh memperbaiki pelaksanaan skim ini, kerajaan sentiasa bersedia mendengar,” katanya. SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Jika benar berlaku buli, tindakan tegas akan diambil — Raisin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular