KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkukuh agenda pembangunan rendah karbon sebagai strategi utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan, meningkatkan daya tahan negeri serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembangunan rendah karbon bukan lagi sekadar agenda pemuliharaan alam sekitar, sebaliknya menjadi keperluan ekonomi yang penting bagi memastikan Sabah terus berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin menitikberatkan amalan kelestarian dan pematuhan kepada piawaian alam sekitar, sosial serta tadbir urus (ESG).
Beliau berkata, Sabah memiliki pelbagai kelebihan semula jadi yang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi hijau, termasuk kekayaan biodiversiti, hutan tropika, ekosistem marin serta potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro mini dan biojisim.
“Semua kelebihan ini mampu menyokong pertumbuhan ekonomi hijau di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Sabah Low Carbon (SLC) 2026 bertemakan “Pathway to Net Zero, Resilience and Green Growth” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, peralihan kepada ekonomi rendah karbon hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan, akademia, pertubuhan masyarakat sivil dan golongan belia.
Katanya, kerjasama itu penting dalam memperluaskan pembiayaan hijau, menggalakkan inovasi, mengurangkan pelepasan karbon serta melahirkan modal insan yang bersedia memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Beliau turut memuji inisiatif Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah yang berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu platform bagi membincangkan penyelesaian praktikal ke arah pembangunan hijau.
Masidi menyifatkan penglibatan mahasiswa dalam simposium berkenaan sebagai petanda positif ke arah melahirkan generasi baharu yang bakal menerajui pembangunan ekonomi hijau negeri.
“Program ini bukan sekadar menjadi medan perbincangan, malah mampu menghasilkan cadangan yang boleh dilaksanakan, memperkukuh kerjasama strategik serta merangsang pelaburan yang memberi impak kepada pembangunan mampan negeri,” katanya.



