KUALA PENYU: Usaha memperkukuh kefahaman mengenai peranan belia perlu diterapkan sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi muda yang berdaya saing, berwawasan dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta negara.
Hasrat itu dizahirkan menerusi penganjuran Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA)@Kelab Malaysiaku yang menghimpunkan kira-kira 100 peserta terdiri daripada pelajar aliran perdana, pelajar tingkatan enam serta guru di Bilik Pendidikan Islam, SMK Pekan Kuala Penyu, di sini.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS Sabah) Daerah Kuala Penyu serta SMK Pekan Kuala Penyu.
Pada program berkenaan, Pegawai Pengelola KBS Sabah Daerah Kuala Penyu, Jailani Ag Damit berkongsi pelbagai peluang pembangunan belia yang ditawarkan oleh kementerian kepada golongan muda.
Beliau turut menggalakkan pelajar yang aktif dalam bidang sukan supaya terus meningkatkan prestasi masing-masing dan tampil berhubung dengan pihak KBS Sabah bagi membuka peluang mewakili Kuala Penyu pada pemilihan temasya Sukan Sabah (SAGA).
Selain itu, Jailani mengingatkan pelajar tingkatan enam mengenai tanggungjawab mereka sebagai bakal pengundi serta kepentingan memahami hak dan peranan sebagai warganegara dalam sistem demokrasi negara apabila layak mengundi pada pilihan raya akan datang.
Sementara itu, JaPen Daerah Kuala Penyu turut menganjurkan Bengkel Asas Pengacaraan Majlis yang dikendalikan oleh Penyelaras Kelab Malaysiaku Kuala Penyu, Mohamad Amirul Dait.
Turut diadakan ialah sesi perkongsian mengenai komunikasi berkesan yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu, selain pameran mini yang memberi fokus kepada kempen bebas pengaruh vape dan rokok serta memaparkan koleksi gambar nostalgia Kuala Penyu sekitar tahun 1962 dan 1971.
Ucapan perasmian telah disampaikan oleh Penolong Kanan Tingkatan Enam SMK Pekan Kuala Penyu, Sabtu Madan yang mewakili Pengetua sekolah.
Beliau merakamkan penghargaan kepada JaPen dan KBS Sabah atas penganjuran program yang disifatkan bertepatan dengan keperluan golongan belia, khususnya pelajar tingkatan enam yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi dan memasuki alam masyarakat.
Katanya, ilmu serta maklumat yang dikongsikan sepanjang program mampu membantu pelajar memperkasa kemahiran komunikasi, kepimpinan dan jati diri dalam menghadapi cabaran masa depan.
Program JIWA@Kelab Malaysiaku bertujuan melahirkan generasi muda yang cintakan negara, berdaya saing serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, di samping memperkukuh kefahaman terhadap aspirasi negara, dasar kerajaan dan penghayatan Rukun Negara.



