KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menemui satu spesies baharu kulat pembunuh serangga di Taman Bukit Tawau, Sabah, sekali gus menjadi rekod pertama seumpamanya di dunia.
Penemuan tersebut telah diterbitkan dalam jurnal taksonomi antarabangsa Phytotaxa pada 24 Jun 2026.
Kulat yang dinamakan Metarhizium tawauensis sp. nov. itu ditemui pada Januari 2023 di Taman Botani, Taman Bukit Tawau.
Ia ditemukan pada seekor serangga dewasa daripada kumpulan Hemiptera yang tertanam di dalam tanah berhampiran spesies orkid Plocoglottis plicata.

Spesies baharu itu dikenal pasti berdasarkan ciri-ciri uniknya, termasuk stroma berwarna perang gelap hingga kehitaman, peritesia yang tertanam, askospora berbilang septum serta konidia berbentuk sfera dengan dinding licin.
Kewujudan spesies tersebut disahkan menerusi pemeriksaan morfologi, mikroskop elektron imbasan (SEM) dan analisis filogenetik pelbagai gen.
Kajian itu diketuai oleh penyelidik doktor falsafah (PhD) di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (ITBC), Muhammad Shahbaz, di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Jaya Seelan Sathiya Seelan, dengan kerjasama Taman-Taman Sabah dan Kolej Universiti Yayasan Sabah.
Menurut Dr. Jaya Seelan, penemuan itu membuktikan hutan Sabah masih menyimpan banyak spesies yang belum dikenal pasti oleh dunia sains.
“Genus Metarhizium kini mempunyai 92 spesies yang diiktiraf di seluruh dunia. Penemuan spesies baharu di Sabah menunjukkan bahawa sebahagian besar biodiversiti Borneo masih belum diterokai dan dinamakan,” katanya.
Kulat daripada genus Metarhizium terkenal kerana keupayaannya menjangkiti serta membunuh serangga, malah beberapa spesies daripadanya telah digunakan dalam sektor pertanian sebagai alternatif semula jadi kepada racun perosak kimia.
Penemuan M. tawauensis dijangka membuka ruang kepada penyelidikan lanjut mengenai potensi penggunaannya dalam pengurusan perosak.
Sementara itu, Pengarah ITBC, Profesor Madya Dr. Fiffy Hanisdah Saikim berkata, penemuan tersebut menjadi peringatan bahawa hutan hujan Sabah masih menyimpan pelbagai khazanah biodiversiti yang belum diterokai sepenuhnya.
“Setiap spesies baharu yang dikenal pasti merupakan sebahagian daripada warisan semula jadi kita. ITBC telah menghabiskan 30 tahun mendokumentasikan hidupan di hutan-hutan ini dan penemuan seperti ini membuktikan usaha tersebut masih jauh daripada selesai,” katanya.
Ditubuhkan pada 1996, ITBC menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun ini. Sepanjang tempoh tersebut, institut berkenaan telah menyumbang kepada pelbagai penemuan spesies baharu di Sabah serta menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan institusi di Asia, Eropah, Australia dan benua Amerika.
Penyelidikan itu dibiayai menerusi Geran Pascasiswazah UMSGreat (GUG0659-2/2023) serta Jabatan Perhutanan Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Spesimen holotaip bagi spesies baharu itu disimpan di Herbarium BORNEENSIS, Universiti Malaysia Sabah.



