Oleh J Evachel John
PENAMPANG: Wakil Penampang, Jovita Ibin, dinobatkan sebagai juara pertandingan Zandi Tavanus Peringkat Negeri 2026 pada Sabtu.
Suri rumah berusia 41 tahun itu membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM20,500, termasuk wang tunai RM6,000, mahkota kemenangan dan hadiah iringan tajaan.
Wakil Keningau, Samsiah Ani, muncul naib juara dan menerima hadiah keseluruhan bernilai RM9,000, termasuk wang tunai RM4,000.
Tempat ketiga pula menjadi milik wakil Nabawan, Martina Gadamin, yang membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM7,500, termasuk wang tunai RM3,000.
Tempat keempat hingga ketujuh masing-masing dimenangi Fanny Jukin (Moyog), Safarina Ekus (Kota Belud), Stella Matuya (Kalabakan) dan Dorothy Lansing (Tamparuli).
Pertandingan itu disertai 51 peserta yang mewakili pelbagai daerah dan subdaerah di Sabah, selain cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Hadiah utama disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Edna Jessica Majimbun, pada majlis yang berlangsung di Grand Ballroom, ITCC, di sini.




