HomeUtamaPKK laksana gotong-royong mega, langkah banteras ancaman denggi

PKK laksana gotong-royong mega, langkah banteras ancaman denggi

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Politeknik Kota Kinabalu (PKK) melaksanakan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes sebagai langkah proaktif membanteras ancaman demam denggi serta memastikan persekitaran kampus berada dalam keadaan bersih, selamat dan kondusif menjelang bermulanya sesi pembelajaran semester baharu.

Program yang diadakan itu merupakan antara inisiatif pencegahan denggi yang dilaksanakan selama sebulan bermula 14 Jun hingga 13 Julai, selaras dengan seruan dan amanat Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kempen pencegahan denggi peringkat kebangsaan.

Pengarah PKK, Md Nor Abdul Halim, berkata langkah berkenaan penting memandangkan persekitaran yang tidak bersih serta kewujudan kawasan takungan air menjadi antara faktor utama penularan nyamuk Aedes yang boleh membawa kepada jangkitan demam denggi.

Beliau berkata, program berskala mega itu bukan sekadar aktiviti pembersihan, malah mencerminkan komitmen berterusan PKK dalam mewujudkan ekosistem kampus yang bersih, sihat, selamat dan kondusif kepada seluruh warga kampus.

“Program berskala mega ini bukan sekadar aktiviti pembersihan biasa, tetapi ia merupakan satu bukti nyata dan komitmen padu PKK untuk mewujudkan sebuah ekosistem kampus yang bersih, sihat, selamat dan kondusif secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKK, Kasmawati Senawing, berkata operasi gotong-royong dilaksanakan secara bersasar dengan membahagikan kawasan kepada dua zon utama bagi memastikan pelaksanaan lebih sistematik dan berkesan.

Menurutnya, Zon Kuarters melibatkan 10 blok kediaman, manakala Zon Kolej Kediaman (Kamsis) merangkumi 15 blok penempatan pelajar dengan setiap blok diselia oleh Ketua Blok dan Felo yang dilantik.

Beliau berkata, fokus utama operasi adalah menghapuskan lokasi berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes menerusi kerja-kerja membersihkan kawasan, mengutip sampah serta memeriksa kawasan berisiko tinggi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua peserta supaya mengutamakan aspek keselamatan sepanjang program berlangsung bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

Program itu turut mendapat sokongan padu daripada sembilan agensi, kelab dalaman dan rakan korporat, sekali gus memperlihatkan semangat kerjasama dalam usaha membanteras denggi di kawasan kampus.

Antara yang terlibat ialah Unit Khidmat Pengurusan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) PKK, PUSPANITA PKK, Kelab Rekreasi dan Kebajikan Staf (KERIS), Gerai PKK, Securi-Pro Protection, Pembinaan Bumi Hijau dan PKH Bakat Niaga.

RELATED ARTICLES
Utama

Pelan Bioteknologi Sabah perkukuh tadbir urus biodiversiti, pacu bioekonomi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular