Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang didapati bersalah merogol anak tirinya dan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak bawah umur itu, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 68 tahun dan 10 sebatan rotan.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman tersebut kepada lelaki itu selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya tanpa keraguan munasabah, hari ini.
Lelaki itu didapati bersalah atas tiga pertuduhan merogol gadis itu dan dua lagi pertuduhan amang seksual fizikal.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebat bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh didapati melakukan amang seksual terhadap mangsa yang ketika itu berusia 10 tahun di sebuah rumah di Tamparuli, Tuaran dan juga dalam bilik mandi rumah tersebut pada awal Januari 2021.
Pertuduhan pertama dan kedua dikemukakan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (SOACA) 2017 yang boleh dihukum di bawah Seskyen 14 dab dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu dipenjara 12 tahun dan dikenakan dua sebatan kerana merogol gadis itu yang berusia 12 tahun 11 bulan pada masa itu, pada jam 12.40 tengah hari, 19 April 2023 di sebuah bilik tidur di sebuah rumah di Tamparuli, Tuaran.
Bagi pertuduhan keempat, dia dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun lagi dan dua sebatan rotan kerana merogol mangsa yang sama pada jam 6 petang pada akhir April 2023 di tempat yang sama.
Bagi pertuduhan kelima, lelaki itu dipenjara 20 tahun dan dua sebatan rotan kerana merogol gadis itu pada jam 3 petang awal Mei 2023 di tempat yang sama.
Ketiga-tiga kesalahan ini di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara 10 dan 30 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat dan kelima, mangsa berusia 13 tahun pada masa itu.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bagi pertuduhan pertama hingga keempat secara serentak dari tarikh penangkapannya tetapi berasingan dengan pertuduhan kelima, menjadikan jumlah penjara yang perlu dijalani hanyalah 32 tahun.
Mahkamah juga memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan semasa menjalani hukuman dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas menamatkan hukuman penjara.
Semasa rayuan, lelaki itu meminta hukuman ringan dan hukuman dijalankan serentak.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis menggesa mahkamah untuk mengenakan hukuman pencegahan dan hukuman dijalankan secara berturut-turut dengan mengambil kira kerosakan dan trauma yang dialami oleh mangsa.
Bryan juga berhujah bahawa hukuman berat harus diberikan kepada lelaki itu bagi memberi pengajaran bukan sahaja kepada lelaki itu tetapi juga orang awam.
Pihak pendakwaan telah memanggil enam saksi semasa perbicaraan manakala dua saksi telah memberi keterangan semasa peringkat pembelaan.



