HomeUtamaPenganjur digesa patuhi Akta Perhimpunan Aman - PDRM

Penganjur digesa patuhi Akta Perhimpunan Aman – PDRM

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu mengambil maklum mengenai hebahan di media sosial berhubung penganjuran Perhimpunan Aman “Gempur Rasuah 3.0” dan “Bangkit Sabahan 2.0” yang dijadual berlangsung di sekitar bandar raya ini pada 4 dan 5 Julai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata setakat ini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu hanya menerima satu notis pemakluman daripada penganjur Perhimpunan Aman “Bangkit Sabahan 2.0”.

Menurutnya, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman daripada penganjur Perhimpunan Aman “Gempur Rasuah 3.0”.

Beliau berkata, mengikut peruntukan undang-undang, penganjur perlu mengemukakan notis pemakluman kepada Ketua Polis Daerah yang mempunyai bidang kuasa di lokasi perhimpunan sebelum sesuatu perhimpunan diadakan.

Katanya, penganjur juga bertanggungjawab memastikan perhimpunan berlangsung secara aman, mematuhi semua peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, tidak mengganggu ketenteraman awam, tidak menghalang aliran trafik serta tidak menjejaskan keselamatan orang ramai.

“Selain itu, penganjur perlu memastikan tiada sebarang pelanggaran undang-undang berlaku sepanjang penganjuran perhimpunan, termasuk penyebaran kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja, unsur hasutan, provokasi atau apa-apa perbuatan yang boleh mengancam ketenteraman awam serta keselamatan negara.

“Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam mana-mana perhimpunan yang boleh mengganggu pergerakan pengguna jalan raya serta menjejaskan kelancaran aktiviti harian di sekitar kawasan Bandaraya Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Abang didakwa dua pertuduhan kesalahan seksual terhadap adik kandung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular