LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengenakan kompaun terhadap seorang pengendali tapak hiburan di sini selepas didapati gagal mempamerkan caj bagi beberapa permainan yang ditawarkan kepada pengguna.
Tindakan itu diambil hasil pemeriksaan yang dijalankan sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Labuan pada malam Rabu susulan maklumat dan aduan yang diterima daripada orang awam.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, pemeriksaan di sebuah tapak hiburan (fun fair) di Labuan itu mendapati pengendali berkenaan tidak mempamerkan caj permainan secara jelas kepada pengguna seperti yang diwajibkan di bawah undang-undang.
Menurutnya, susulan kesalahan tersebut, kompaun telah dikeluarkan di tempat kejadian di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 yang dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
“Peraturan itu mewajibkan mana-mana peniaga atau penyedia perkhidmatan mempamerkan harga atau caj dengan jelas, mudah dilihat dan mudah difahami oleh pengguna sebelum sesuatu urus niaga dilakukan.
“Kegagalan mematuhi keperluan ini boleh menjejaskan hak pengguna untuk membuat pilihan secara telus selain berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam transaksi perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, bagi kesalahan berkenaan, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau kompaun mengikut peruntukan yang ditetapkan.
Katanya, bagi pertubuhan perbadanan pula, denda yang boleh dikenakan adalah sehingga RM100,000 jika sabit kesalahan.
Junaidah berkata, KPDN Wilayah Persekutuan Labuan akan terus mempergiatkan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga serta penyedia perkhidmatan mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat atau aduan kepada KPDN sekiranya mengesan sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan perdagangan dan kepenggunaan.
Menurutnya, kerjasama pengguna amat penting dalam membantu pihak berkuasa mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih telus, adil dan beretika di negara ini.



