KOTA KINABALU: Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PBAKK) 2026 dijadual berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 September depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dengan sasaran menghimpunkan lebih 100 peserta dari dalam dan luar negara.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Md Mansur berkata, penyertaan kali ini dijangka melibatkan peserta dari Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, Kalimantan, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia serta beberapa negara lain.
Beliau berkata, penganjuran PBAKK 2026 merupakan hasil kerjasama UMS bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS), Perpustakaan Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memperkukuh budaya ilmu, memperluas jaringan penerbitan serta mengetengahkan buku-buku berkaitan Borneo kepada masyarakat serantau.
“Selain pesta buku, kita juga akan mengadakan pelancaran beberapa buah buku serta mencadangkan pengenalan Anugerah Piala Buku Terbaik Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah yang merangkumi kategori Penulis Terbaik, Buku Borneo Terbaik dan Penerbit Buku Terbaik.
“Kita menjangkakan, seperti tahun lalu, peserta yang mengambil bahagian datang dari seluruh Borneo. Kita telah menjemput rakan-rakan strategik dari Kalimantan, Brunei Darussalam, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, selain rakan strategik dari Filipina, Indonesia serta beberapa negara lain.

“Inilah hasrat UMS untuk mengetengahkan buku-buku berkaitan Borneo dan bidang-bidang sains sosial serta sains dalam usaha mempromosikan ilmu pengetahuan kepada warga Borneo sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Kasim, kunjungan hormat itu bertujuan memaklumkan penganjuran pesta buku berkenaan selain menjemput Tun Musa untuk hadir menyempurnakan majlis perasmian yang dijadualkan pada 27 September.
Beliau berkata, penganjuran PBAKK 2026 juga dilihat selari dengan usaha membantu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengangkat bandar raya Kota Kinabalu sebagai City of Literature atau Kota Sastera, di samping memperluaskan promosi penerbitan berkaitan Borneo dalam pelbagai bidang ilmu.
“Salah satu kriteria yang membolehkan sesebuah bandar dinobatkan sebagai City of Literature adalah melalui penganjuran pameran buku berskala besar.
“Kita menyasarkan pesta ini mampu menarik lebih 150,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran, termasuk pelajar sekolah rendah, sekolah menengah, mahasiswa serta orang awam,” katanya.
Tambah beliau, pengunjung bakal menikmati pelbagai tawaran menarik termasuk diskaun pembelian buku, selain berpeluang menyaksikan pameran berkaitan STEM, kebudayaan, warisan, bahasa dan penerbitan tempatan.
“Memang hasrat pesta buku ini adalah memberi peluang kepada masyarakat untuk melihat buku-buku terbaik dan terkini, selain meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar serta orang awam,” katanya.
Selain pameran buku, lebih 50 aktiviti akan diadakan sepanjang pesta berkenaan termasuk pertandingan mewarna, sesi bercerita, forum, seminar, bicara buku serta pelbagai program pendidikan yang dikendalikan oleh UMS, Perpustakaan Negeri Sabah, DBP dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir memeriahkan PBAKK 2026 yang akan berlangsung di SICC bermula jam 9.30 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh penganjuran.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Prof. Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul; serta Pengarah Penerbit UMS, Prof. Dr. Patricia Clementina Matanjun.



