Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Indonesia yang membunuh isterinya di Pasar Sayur Kepayan, tiga tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman itu terhadap Jedu Rudu, 45, yang menukar pengakuan kepada bersalah pada 18 Jun lalu ketika prosiding pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 8 April 2023.
Jedu mengaku membunuh isterinya, Suria Woade, 38, yang juga warga Indonesia, di Pasar Sayur Kepayan, Jalan Pahlawan, antara jam 1 petang hingga 2.21 petang pada 8 April 2023.
Dia disabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa berada di Pasar Sayur Kepayan di sini bagi membantu kakaknya menjual sayur-sayuran.
Kira-kira jam 1 petang, tertuduh datang ke pasar berkenaan dengan membawa sebilah pisau sebelum menghampiri mangsa yang berada di salah sebuah gerai sayur.
Pertengkaran tercetus antara kedua-duanya sebelum tertuduh mengeluarkan pisau yang dibawanya lalu menikam mangsa di bahagian kiri belakang badan.
Mangsa rebah akibat tikaman itu, manakala tertuduh melarikan diri dari tempat kejadian.
Kejadian itu disaksikan oleh seorang peniaga sayur yang kemudian menghubungi ambulans bagi mendapatkan bantuan selepas melihat mangsa rebah.
Mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada hari yang sama, kira-kira jam 2.21 petang.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami satu luka tikaman di bahagian belakang kiri badan dengan kedalaman kira-kira 17 sentimeter. Kecederaan itu didapati membawa maut kerana menyebabkan pendarahan yang teruk serta menjejaskan sistem pernafasan mangsa.
Pada 18 Februari lalu, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh sebelum mengarahkannya membela diri.
Seramai sembilan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang kes pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali dan Nigel Neong Kaning.
LINK BERITA TERDAHULU:



