KOTA KINABALU : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 208 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam 26 operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan secara serentak di seluruh daerah di negeri ini sepanjang tempoh tiga hari berakhir pada Khamis.
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut dijalankan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.

Sepanjang operasi itu, seramai 1,187 individu telah diperiksa, dengan 208 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.
“Daripada jumlah yang ditahan, majoritinya merupakan warganegara Filipina membabitkan 53 lelaki dewasa, 72 perempuan dewasa, 21 kanak-kanak lelaki dan 18 kanak-kanak perempuan.
“Turut ditahan ialah 30 warganegara Indonesia yang terdiri daripada 15 lelaki dewasa dan 15 perempuan dewasa, selain lima lelaki dewasa warga Pakistan, enam lelaki dewasa warga China serta tiga lelaki dewasa warga India,” menuru kenyataan itu di sini pada Jumaat.

JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen dan membanteras kehadiran PATI.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara.

Sebarang maklumat berkaitan kehadiran PATI boleh disalurkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) bagi membantu tindakan penguatkuasaan diambil.



