HomeUtamaMinat, kesabaran kunci hasilkan Pinongkoloh

Minat, kesabaran kunci hasilkan Pinongkoloh

Read Time:1 Minute, 44 Second

Oleh J Evachel John

PENAMPANG: Seni sulaman manik pada pakaian tradisi Murut Tahol, ‘Pinongkoloh’, bukan asing bagi Kartini Bullah.

Berbekalkan kemahiran yang dipupuk sejak kecil, beliau memilih menghasilkan sendiri busana itu untuk digayakan pada pertandingan akhir Zandi Tavanus Sabah 2026, sekali gus mengetengahkan kehalusan seni sulaman Murut Tahol.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata, beliau mengambil masa hampir sebulan menyiapkan sulaman berkenaan sambil menguruskan keluarga dan rutin harian.

“Kalau ikut masa yang paling laju, sebenarnya boleh siap dalam dua minggu. Tapi oleh kerana sibuk, saya ambil masa hampir sebulan.

“Memang agak mencabar kerana ia memerlukan komitmen, kesabaran dan ketekunan yang tinggi untuk menghasilkan sulaman yang kemas. Namun, tiada yang mustahil kalau ada minat,” katanya.

Minat Kartini terhadap seni sulaman manik bermula sejak kecil apabila diminta neneknya membaiki pakaian tradisi keluarga yang sudah usang.

“Dulu masa saya budak-budak, nenek saya ada pakaian tradisi yang sudah usang dan sulamannya banyak yang terputus. Dia suruh saya baiki dan pulihkan semula.

“Dari situ saya mula rasa tertarik dengan seni sulaman manik ini, walaupun masa itu saya belum terfikir untuk menghasilkan pakaian sendiri.

“Bila saya mahu berkahwin pada tahun 2008, saya ambil keputusan untuk buat sendiri pakaian tradisi yang saya pakai pada majlis perkahwinan,” kata ibu kepada lima anak itu.

Sejak itu, Kartini terus mendalami seni sulaman pakaian tradisi Murut Tahol, khususnya Pinongkoloh, dan kini sering dijemput mengendalikan bengkel sulaman untuk berkongsi kemahirannya dengan generasi muda.

Beliau turut menghasilkan cenderamata bersulam manik yang sering ditempah sebagai hadiah kepada tetamu kenamaan.

Beliau berharap lebih ramai anak muda mempelajari dan menguasai seni sulaman tradisi bagi memastikan warisan Murut Tahol terus dipelihara.

“Saya berharap lebih ramai anak muda belajar menyulam supaya warisan ini terus dipelihara dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya yang berasal dari Kampung Murni A, Nabawan.

Zandi Tavanus merupakan pertandingan yang memberi platform kepada wanita yang sudah berkahwin dan berusia 40 tahun ke atas untuk menampilkan keyakinan diri, kebolehan dan kepimpinan, di samping memelihara warisan budaya Sabah.

Kartini, yang mewakili Kemabong, berjaya mara ke ‘Top 15’ daripada 51 finalis pada pertandingan yang berlangsung pada 27 Jun lalu di Grand Ballroom, ITCC.

RELATED ARTICLES
Utama

70 premis diperiksa, bekalan barangan kawalan di Tawau mencukupi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular