HomeUtamaDBKK sedia geran inovasi mayor RM20,000 sokong projek bandar pintar

DBKK sedia geran inovasi mayor RM20,000 sokong projek bandar pintar

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menyediakan Geran Inovasi Mayor bernilai RM20,000 bagi menyokong pembangunan prototaip dan pelaksanaan projek perintis yang berpotensi memberi impak positif kepada pembangunan Bandar Pintar Kota Kinabalu.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, geran itu diwujudkan bagi memastikan idea-idea inovatif yang dihasilkan melalui program KK Smart City Friends Hackathon 2026 dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, geran berkenaan akan digunakan untuk menyokong pembangunan prototaip serta pelaksanaan projek yang mempunyai impak jelas dari aspek sosial, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Kita mahu idea-idea yang lahir daripada program ini diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan memberi manfaat kepada masyarakat.

“Sehubungan itu, DBKK telah menyediakan Geran Inovasi Mayor bernilai RM20,000 bagi menyokong pembangunan prototaip dan pelaksanaan projek perintis yang berpotensi memberi impak sosial, ekonomi dan kelestarian persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah KK Smart City Friends Hackathon 2026, di sini pada Ahad.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan DBKK Selaku Pengerusi KK Smart City Friends Hackathon 2026 Faradillah Abdul Rani.

Program yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan kira-kira 150 ahli Smart City Friends yang mewakili antara 40 hingga 50 kumpulan terdiri daripada golongan belia, komuniti setempat, inovator, wakil agensi kerajaan serta pemenang Cabaran Kampungku Bersih.

Sepanjang program itu, para peserta diberi peluang mengenal pasti cabaran sebenar yang dihadapi bandar raya dan komuniti setempat sebelum menghasilkan cadangan penyelesaian yang kreatif, praktikal dan berimpak tinggi menerusi penggunaan teknologi serta pendekatan inovatif.

Sabin berkata,  pendekatan itu selaras dengan aspirasi DBKK untuk memperkukuh budaya inovasi dan kolaborasi dalam kalangan masyarakat menerusi pelaksanaan Blueprint Smart City Friends Kota Kinabalu sehingga tahun 2030, khususnya di bawah Strategi 5.2 yang memberi penekanan kepada inovasi dan teknologi.

Beliau berkata, pembangunan bandar pintar memerlukan penglibatan aktif masyarakat sebagai rakan strategik kepada pihak berkuasa tempatan dalam mencorakkan masa depan bandar raya.

Katanya, program hackathon itu turut memberi pendedahan kepada peserta dalam pelbagai bidang teknologi seperti reka bentuk berasaskan manusia, Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI), realiti terimbuh (AR) dan realiti maya (VR), sekali gus meningkatkan kapasiti digital dan daya inovasi peserta.

Selain memperkukuh kemahiran teknologi, program itu turut membentuk kemahiran kepimpinan, komunikasi dan semangat kerjasama dalam kalangan peserta, di samping menggalakkan pembangunan penyelesaian inovatif yang mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat bandar.

Beliau turut berharap lebih ramai Duta Inovasi Bandar Pintar dapat dilahirkan menerusi platform Smart City Friends bagi terus memainkan peranan sebagai rakan strategik DBKK dalam merealisasikan agenda Bandar Pintar Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS perkenal pendekatan didik hibur dalam modul CERIA 3M Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular