HomeUtamaIndustri kreatif Sabah wajar terus diperkasa - Hazmel

Industri kreatif Sabah wajar terus diperkasa – Hazmel

Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Industri kreatif di Sabah dilihat mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai antara penyumbang kepada ekonomi negeri, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan mengembangkan kerjaya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penyanyi dan pencipta lagu berasal dari Beaufort, Hazmel Osen, 37, berkata pembangunan industri muzik memerlukan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan bagi memastikan lebih ramai anak seni tempatan mampu berkarya dan membina nama tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.

Beliau yang kini menetap di Kota Kinabalu berkata, industri muzik bukan sekadar medium hiburan, malah mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada pemuzik, pencipta lagu, jurutera bunyi, penerbit video, jurugambar, pereka grafik serta pelbagai profesion lain dalam ekosistem industri kreatif.

“Jika diberi sokongan menerusi geran, studio rakaman, program pembangunan bakat, festival muzik, promosi dan peluang persembahan, saya percaya lebih ramai anak Sabah mampu mencipta nama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Industri muzik juga mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui pelancongan, penganjuran acara seni dan pembangunan sektor kreatif,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.

Hazmel berkata, beliau mula aktif dalam industri muzik beberapa tahun lalu selepas mendalami bidang penulisan lagu dan nyanyian, selain kerap mengadakan persembahan secara langsung di platform TikTok.

Menurutnya, usaha itu membuka peluang apabila beliau dilamar sebuah syarikat rakaman di Semenanjung Malaysia untuk merakamkan single pertama berjudul Cahaya Sinaran.

Katanya, pada tahun ini beliau memilih untuk bergerak secara berdikari dengan menghasilkan karya sendiri menerusi single terbaharu Andai Itu Takdirnya.

“Lagu ini merupakan karya ciptaan pertama saya dengan bantuan adik saya, Ika Manda sebagai komposer, manakala Alice Zainal bersama-sama menulis lirik. Susunan muzik pula dihasilkan dengan kerjasama rakan-rakan pemuzik dari Malaysia dan Bandung, Indonesia.

Andai Itu Takdirnya kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik digital serta menerusi saluran YouTube rasmi saya, HAZMEL OFFICIAL,” katanya.

Beliau berkata, Andai Itu Takdirnya menjadi permulaan kepada hasratnya untuk terus menghasilkan lebih banyak karya asli yang mengangkat kisah dan pengalaman hidup yang dekat dengan pendengar.

Mengulas mengenai sambutan terhadap muziknya, Hazmel berkata karya beliau mula mendapat perhatian di Malaysia dan Indonesia, namun penerimaan di negara jiran itu agak memberangsangkan kerana masyarakatnya amat menghargai muzik Melayu dan pop.

Katanya, Bandung dipilih sebagai lokasi kerjasama kerana bandar itu terkenal sebagai antara pusat industri muzik Indonesia yang menghimpunkan ramai pemuzik, penerbit dan penggiat seni kreatif.

“Pelancaran single pertama saya, Cahaya Sinaran, turut diadakan di Braga, Bandung pada tahun lalu dan menerima sambutan yang sangat baik,” katanya.

Dalam pada itu, Hazmel berharap industri muzik Sabah terus berkembang supaya lebih ramai bakat tempatan dapat membina kerjaya di negeri sendiri.

“Sabah mempunyai ramai anak seni yang berbakat. Saya berharap lebih banyak peluang diwujudkan agar mereka dapat terus berkarya dan mengembangkan potensi tanpa perlu mencari ruang di luar negeri,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada golongan muda Sabah agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian.

“Jangan pernah berhenti berkarya walaupun berdepan pelbagai cabaran. Teruskan belajar, tingkatkan kemahiran dan jangan takut membawa nama Sabah ke pentas yang lebih tinggi.

“Saya percaya anak Sabah mempunyai bakat yang mampu bersaing dengan sesiapa sahaja jika diberikan peluang dan sokongan yang mencukupi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Wanita didenda RM15,000 jual produk vape tidak patuh pelabelan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular