HomeUtamaTanaman herba berpotensi jana ekonomi baharu masyarakat luar bandar

Tanaman herba berpotensi jana ekonomi baharu masyarakat luar bandar

Read Time:1 Minute, 44 Second

KOTA KINABALU: Pembangunan tanaman herba dan perubatan tradisional berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu kepada masyarakat luar bandar, khususnya golongan wanita, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.

Beliau berkata, tanaman herba bukan sahaja mudah diusahakan di kawasan kediaman menerusi konsep kebun dapur, malah mempunyai nilai komersial yang mampu menjana pendapatan tambahan jika diproses dan dipasarkan dengan baik.

Menurutnya, kementerian menggalakkan lebih banyak program latihan dan pemindahan ilmu berkaitan kaedah penanaman serta pemprosesan herba supaya masyarakat, terutama wanita di luar bandar, dapat memanfaatkan sumber semula jadi yang terdapat di persekitaran mereka.

“Saya berharap lebih banyak kursus dan latihan berkaitan pemprosesan tanaman herba dapat dilaksanakan agar masyarakat memperoleh pengetahuan, kecekapan dan kemahiran yang diperlukan.

“Usaha ini bukan sahaja dapat memperkasa golongan wanita, malah membantu meningkatkan pendapatan keluarga dan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan sebuah premis berasaskan produk herba Jamu Haus Borneo di Anjung Selera Likas, di sini.

Jamawi berkata, meskipun ada tanggapan bahawa perubatan tradisional semakin kurang mendapat perhatian, perkembangan semasa menunjukkan minat masyarakat terhadap penggunaan herba semakin meningkat seiring kesedaran mengenai gaya hidup sihat.

“Semakin ramai masyarakat kembali memberi perhatian kepada tanaman herba dan perubatan tradisional kerana manfaat yang ditawarkan.

“Ini membuktikan industri herba mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan diterokai sebagai satu sektor ekonomi bernilai tinggi,” katanya.

Beliau turut berharap lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan antara usahawan, pakar dan kementerian bagi memperkukuh pembangunan industri herba di Sabah, sekali gus membuka lebih banyak peluang keusahawanan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Sementara itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada pengasas Jamu Haus Borneo, Zaklean Ansari Zambri, atas usaha memperkenalkan perusahaan berasaskan herba tempatan serta komitmennya dalam berkongsi ilmu dan pengalaman kepada masyarakat.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan kerjasama dari Indonesia, Dr. Rianti Maharani, atas kesediaan membawa kepakaran dan pengalaman dalam bidang herba serta perubatan tradisional bagi menyokong pembangunan industri berkenaan di Sabah.

Jamawi berharap kerjasama yang terjalin antara semua pihak dapat terus diperkukuh dan diperluaskan bersama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bagi memperkasa industri herba, melahirkan lebih ramai usahawan tempatan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

Tun Musa rai mantan pegawai kanan Kerajaan Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular