HomeUtamaParlimen : Datasonic Technologies Kendali Kontrak Dokumen Keselamatan RM2.74 Bilion Dengan KDN

Parlimen : Datasonic Technologies Kendali Kontrak Dokumen Keselamatan RM2.74 Bilion Dengan KDN

Read Time:2 Minute, 9 Second

KUALA LUMPUR: Datasonic Technologies Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh NexG Bhd, kini mengendalikan kontrak aktif bernilai keseluruhan RM2.74 bilion dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi penyediaan dan pengurusan pelbagai dokumen keselamatan kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kontrak berkenaan meliputi penyelenggaraan pusat pengeluaran kad Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pembekalan kad kosong MyKad, MyTentera dan MyPoCA, percetakan serta penghantaran dokumen keselamatan, pembekalan pasport Malaysia serta kad pengenalan pekerja asing (i-KAD).

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang meminta KDN memperincikan kontrak aktif berkaitan dokumen keselamatan serta langkah kerajaan memastikan kesinambungan bekalan dan perlindungan data sensitif rakyat minggu lalu.

Menurut Saifuddin, kontrak terbesar ialah pembekalan pasport Malaysia kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bernilai RM1.73 bilion bagi tempoh enam tahun bermula 1 Jun 2026 hingga 31 Mei 2032.

Selain itu, kontrak bernilai RM732.72 juta diberikan bagi membekalkan MyKad, MyTentera, MyPoCA serta bahan berkaitan kepada JPN untuk tempoh yang sama.

Beliau berkata syarikat itu turut memegang kontrak penyelenggaraan pusat pengeluaran kad JPN bernilai RM111.84 juta bagi tempoh 1 Jun 2021 hingga 31 Januari 2027.

KDN turut melanjutkan kontrak bernilai RM22.83 juta selama lapan bulan, bermula 1 Mei hingga 31 Disember 2026, bagi kerja reka bentuk, percetakan, pembekalan dan penghantaran pelbagai dokumen keselamatan JPN.

Selain itu, Datasonic Technologies turut mengendalikan kontrak bernilai RM140 juta bagi pembekalan i-KAD kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tempoh 1 November 2022 hingga 30 April 2027.

Mengenai jaminan bekalan dokumen keselamatan, Saifuddin berkata JPN dan JIM melaksanakan unjuran stok secara bulanan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan perkhidmatan kepada rakyat tidak terganggu.

Katanya, sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan, pelan tindakan kecemasan akan diaktifkan dengan segera bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam terus berjalan.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pangkalan data MyKad dan maklumat sensitif rakyat merupakan hak eksklusif Kerajaan Malaysia serta ditempatkan sepenuhnya di pusat data kerajaan yang mempunyai tahap keselamatan tinggi.

“Semua syarikat yang diberikan kontrak berkaitan dokumen keselamatan diwajibkan menjalani tapisan keselamatan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan keselamatan serta mengurangkan risiko kebocoran atau penyalahgunaan maklumat peribadi,” katanya.

Bagi pasport Malaysia pula, beliau berkata maklumat pemegang pasport dilindungi melalui ciri keselamatan fizikal dan elektronik yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), termasuk penggunaan dua lapisan percetakan keselamatan pada halaman biodata serta data dalam cip elektronik yang dikawal sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat itu turut mencadangkan untuk menukar semula nama korporatnya kepada Datasonic Group Bhd selepas lebih setahun menggunakan nama NexG berikutan proses penjenamaan semula.

RELATED ARTICLES
Utama

Inkues Zara: Tekanan interpersonal di sekolah dan asrama perlu dinilai serius

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular