RANAU: Kerajaan Negeri menjangkakan penambahbaikan terhadap pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga minggu susulan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di peringkat Persekutuan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, berkata perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri selepas kementeriannya membentangkan hasil libat urus bersama kedua-dua kementerian berhubung kesan pelaksanaan subsidi bersasar diesel terhadap rakyat Sabah.
Beliau berkata, laporan itu merangkumi pelbagai isu yang dihadapi golongan petani, nelayan, pengusaha industri makanan serta pemilik kenderaan pikap dan pacuan empat roda yang digunakan bagi tujuan pekerjaan dan perniagaan.
“Saya telah melaporkan secara menyeluruh bagaimana petani kita terjejas, bagaimana jentera ladang terkesan, termasuk penggunaan kenderaan pikap dan pacuan empat roda oleh golongan belia untuk tujuan pekerjaan serta perniagaan.
“Ketua Menteri mengambil perhatian serius terhadap perkara ini dan mengarahkan Kabinet Negeri menjemput Kementerian Kewangan serta KPDN mengadakan sesi taklimat dan libat urus bersama penjawat awam serta wakil rakyat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Padang Ragut, Pelancaran Kebun Dapur dan Kempen Vaksinasi Haiwan Kesayangan di Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar Ranau, pada Selasa.
Menurut Jamawi, sesi pertama libat urus akan diadakan bersama ketua-ketua jabatan negeri di Menara Kinabalu pada Jumaat ini, manakala sesi kedua bersama wakil rakyat kerajaan dijadual berlangsung pada Ahad.
Katanya, sesi itu penting bagi memberi gambaran sebenar kepada Kerajaan Persekutuan mengenai cabaran yang dihadapi rakyat Sabah sejak pelaksanaan BUDI Diesel.
Beliau menegaskan Sabah mempunyai keperluan berbeza berbanding Semenanjung Malaysia berikutan faktor geografi serta jarak perjalanan yang lebih jauh, sekali gus memerlukan pendekatan pelaksanaan subsidi bahan api yang lebih bersesuaian.
“Kita tidak sama seperti di Semenanjung. Kalau di sana memandu tiga jam boleh merentasi beberapa negeri, tetapi di Sabah memandu tiga jam pun mungkin belum sampai ke satu daerah.
“Kita faham isu ketirisan perlu ditangani, namun jangan kerana kegagalan mengawal ketirisan, beban itu dipindahkan kepada petani, nelayan, pengusaha industri makanan dan golongan muda yang berniaga. Itu tidak adil kepada mereka,” katanya.
Dalam majlis sama, kementeriannya turut menyerahkan bantuan kepada dua padang ragut di Ranau yang merangkumi peralatan seperti tiang pagar, dawai pagar, makanan ternakan dan mesin pemproses rumput bagi meningkatkan pengeluaran makanan ternakan berkualiti.
Jamawi berkata, Kerajaan Negeri sedang mempergiat usaha memulihkan padang ragut yang kurang dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh industri penternakan ruminan dan unggas di Sabah.
“Sejak enam bulan lalu saya telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar mempergiatkan program berkaitan serta memperkasakan penternakan ruminan, unggas dan sektor berkaitan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan sambutan terhadap inisiatif Kebun Dapur amat menggalakkan apabila lebih 3,000 individu dan kumpulan di seluruh Sabah kini terbabit berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Menurutnya, kerajaan menyasarkan seramai 5,000 pengusaha Kebun Dapur dalam tempoh lima tahun, namun perkembangan semasa menunjukkan sasaran itu berpotensi dicapai lebih awal.
“Kita menjangkakan pertambahan kira-kira 1,000 pengusaha baharu setiap tahun, namun melihat semangat rakyat Sabah hari ini, saya amat berterima kasih atas sokongan terhadap usaha kementerian,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga sedang membangunkan platform digital kebundapur.com yang dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan bagi membolehkan pengusaha memasarkan hasil pertanian, perikanan dan penternakan secara terus kepada pengguna tanpa orang tengah.
Katanya, platform itu tidak memerlukan lesen khas, namun semua produk akan dipantau oleh agensi berkaitan bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan memenuhi piawaian sebelum dipasarkan.
“Kita mahu memudahkan urusan pemasaran, tetapi pada masa sama memastikan hasil yang dijual memenuhi standard yang ditetapkan melalui pemantauan pegawai di lapangan,” katanya.
Turut hadir, ADUN Paginatan, Datuk Rusdin Riman; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jumain Abdul Ghani; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid, serta pegawai kanan kementerian.



