SEMPORNA : Keindahan alam semulajadi bersifat maritim yang wujud di Semporna membolehkan daerah ini berpotensi menjadi hub pelancongan dunia seperti Pulau Hawaii, Pulau Mauritius dan Pulau Canary.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS) Datuk Askalani Abdul Rahim berkata, ia merupakan anugerah semulajadi yang harus dihayati, dimajukan, dijaga dan diambil faedahnya oleh penduduk.
Katanya, ia termasuklah kerajaan dan pihak pemaju pelancongan dengan pemantauan oleh pihak kementerian serta jabatan berkaitan.
“Selain Pulau Sipadan, terdapat juga beberapa pulau lain misalnya Pulau Mabul, Pulau Timba-Timba, Pulau Pandanan, Pulau Pompom, Pulau Bohe’an, Pulau Mataking dan Pulau Kulapuan yang boleh dimajukan untuk menjadi pusat tarikan pelancong bertaraf dunia.
“Dalam konteks ini, TTS, pihak lembaga telah melakukan banyak tindakan proaktif untuk kelestarian alam sekitar di Semporna yang sekaligus bakal menjadi tarikan kepada industri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pesta Laut Bajau Semporna 2021 dan Pemilihan Pulau Mabul, Semporna Sebagai Pintu Gerbang Pelancongan Bertaraf Dunia di Dewan Masyarakat, disini semalam.
Askalani berkata, pihak arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Jabatan Muzium Negeri Sabah telah mengiktiraf wujudnya petempatan prasejarah di Bukit Tengkorak, Malanta Tutup dan Bukit Kemiri.
“Difahamkan melalui kajian arkeologi, Bukit Tengkorak merupakan pusat pembuatan tembikar dan dapur tanah liat terbesar di Asia Tenggara 4000 tahun yang lalu dan penyebaran tembikar serta dapur tanah liat yang dikenali sebagai ‘lapohan’ dari kawasan ini sehingga ke Kepulauan Solomon di utara Australia.
“Kerajaan negeri mempromosikan dan merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini secara amnya khususnya di Semporna,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Daerah Semporna, Juraimin Jadil dan Pengerusi Pesta Laut Etnik Bajau dan Pesta Regatta Lepa 2021, Datuk Hajan Gurimbang.