Perjuangan GRS baru bermula bagi membela rakyat Sabah – PM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 32 Second

Perjuangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum selesai dengan memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lepas, sebaliknya baru bermula dengan membela nasib rakyat negeri itu, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata pada PRN itu beliau mendengar sendiri keluh resah rakyat yang mahukan Negeri Di Bawah Bayu itu berubah dengan pembangunan lebih baik terutama daripada segi infrastruktur dan isu kemiskinan rakyat diatasi dengan sebaiknya.

“Mereka itu (rakyat Sabah) telah meletakkan kepercayaan kepada kita…sebab itu bila kita sudah berada di sini (menjadi kerajaan negeri) jangan kita lupa amanah perlu kita pikul yang diberikan sendiri oleh rakyat kepada kita.

“Amanah ini kita pikul dengan kesungguhan sebenar-benar supaya apa diharapkan rakyat Sabah diterjemah dalam bentuk bantuan, sokongan, pertolongan, dan pembangunan dalam segala bidang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam GRS di Kota Kinabalu malam ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor juga Pengerusi GRS dan Pengerusi PN Sabah, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Bung Moktar Radin juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Dr Jeffrey Kitingan juga Presiden STAR Sabah, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS).

GRS terdiri daripada gabungan parti komponen daripada PN, BN dan PBS.

Muhyiddin berkata COVID-19 telah meletakkan rakyat dalam situasi yang amat sukar untuk meneruskan kehidupan, justeru, katanya segala pertolongan kepada rakyat terjejas perlu disampaikan secara bersungguh dan dengan kadar yang segera.

Perdana Menteri berkata COVID-19 juga memberi cabaran yang luar biasa kepada kerajaan terutama untuk memberi bantuan kepada rakyat, sehubungan itu, ia perlu dihadapi dengan sebuah usaha yang amat luar biasa daripada kerajaan.

“Saya faham ia bukan sesuatu yang mudah malah amat mencabar berbanding dengan apa kerajaan pernah hadapi sebelum ini, Kerajaan Persekutuan terpaksa ambil tindakan luar biasa dengan masalah COVID-19 hampir setiap hari beri cabaran berbeza.

“Walaupun sukar tiada bahan rujukan atau pengalaman lalu sedikit sebanyak kita dapat atasi…vaksin sudah kita sampaikan, sedikit demi sedikit harapan kita untuk kembalikan kehidupan baik kepada rakyat dilaksana, sedikit demi sedikit kita urus masalah kesihatan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi sokongan 110 peratus kepada kerajaan negeri Sabah di bawah pimpinan GRS terutama dalam membangunkan negeri dan mengatasi masalah kemiskinan.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutan juga akan memberi keutamaan dan perhatian khusus terhadap setiap permasalahan dan keperluan rakyat negeri ini.

“Saya fikir ada ketika Ketua Menteri (Hajiji) tidak memohon wang (tetapi) kerajaan Persekutuan bagi bantuan untuk menguruskan masalah COVID-19…dalam menghadapi tempoh sukar ini saya bangga melihat Sabah di bawah GRS semakin kukuh.

“Hubungan peribadi (bersama pemimpin kerajaan negeri GRA) telah saya jalinkan, apa dikehendaki kerajaan terus bantu rakyat dan penting kita tahu apa masalah dan atasi sebaiknya…hubungan kerjasama Kerajaan Pusat dan (kerajaan negeri) GRS bukan sahaja diteruskan malah diperkukuhkan,” katanya.

Katanya, esok beliau akan diberi taklimat tentang apa yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri GRS dan akan memberi pandangannya sendiri bagi memastikan gabungan itu mampu melaksana amanah menjaga rakyat Sabah dengan sebaiknya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *