Kerajaan Sabah Beri Jaminan Bekalan Produk Pertanian Mencukupi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

4 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan bekalan makanan khususnya produk pertanian di Sabah mencukupi bagi memenuhi permintaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, pihaknya sentiasa mengawalselia dan memastikan stok bekalan sentiasa mencukupi termasuk beras; sayur-sayuran; ikan dan pelbagai produk lain.

“Di pihak kementerian, kita sentiasa mengawalselia dan memastikan bekalan produk pertanian sentiasa mencukupi dan rakyat di negeri ini tidak perlu risau.

“Justeru itu, pengguna mahupun rakyat tidak perlu panik membeli barang keperluan atau mengumpul barang keperluan secara berlebihan kerana bekalan lebih dari mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan berkata, secara keseluruhan bekalan beras di negeri ini boleh menampung keperluan selama enam bulan.

Katanya, bekalan beras yang terdapat di pemborong dan kedai runcit kini adalah sebanyak 12,528 metrik tan (MT) manakala stok penimbal berada pada 49,500 MT selain mempunyai stok kemasukan kapal sebanyak 12,528MT.

“Ini tidak termasuk beras wangi, beras pulut dan beras basmati dimana kebanyakan pengguna di Sabah menggunakannya hampir 12,000 MT beras setiap bulan,”katanya

Sementara itu, Jeffrey berkata, sebanyak tiga Taman Pengeluaran Makanan Kekal iaitu di Kundasang; Putatan dan Lahad Datu sudah beroperasi dan mengeluarkan produk bagi memastikan bekalan sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi sepanjang PKP.

“Selain itu, pengguna juga tidak perlu risau mengenai bekalan produk perikanan kerana pada masa ini bekalan adalah melebihi permintaan.

“Berdasarkan unjuran Food Fish Security for Sabah, keperluan bagi produk perikanan bagi tahun 2020 adalah sebanyak 176,959 MT manakala pengeluaran adalah 202,436 MT,” katanya.

Tambahnya lagi, bekalan bahan mentah khususnya daging lembu, daging kerbau, ayam, daging khinzir, telur, dan susu juga mencukupi sepanjang tempoh PKP ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *