Kerajaan Sabah Agih 10,000 Unit Komputer Riba Kepada Pelajar SPM,STPM dan STAM

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 36 Second

6 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah akan mengagihkan sebanyak 10,000 unit komputer riba kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pemberian komputer riba yang dipersetujui kabinet itu akan dilaksanakan menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta.

“Pengagihan akan mengambil masa selama kira-kira tiga bulan sehingga Oktober ini.  Kerajaan negeri berharap pemberian komputer riba ini akan membantu pelajar yang tidak berkemampuan.

“Ini adalah kaedah yang kita ambil untuk membantu agar pelajar yang  tidak berkemampuan tidak tercicir dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya disini hari ini.

Pengagihan komputer riba menerusi BAIK untuk Fasa 1 ini membabitkan 9,842 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan 158 dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN).

Menerusi Mesyuarat Kabinet sebelum ini, jemaah menteri bersetuju supaya satu jawatankuasa yang dipengerusikan bersama Menteri Tugas-Tugas Khas dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dibentuk untuk mencari kaedah membantu pelajar yang tidak berkemampuan, agar tidak tercicir dalam PdPR.

Kementerian Tugas-Tugas Khas bertanggungjawab menyediakan senarai pelajar yang terpilih mengikut kriteria ditetapkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sabah.

Manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan mengenalpasti serta menentukan komputer riba yang akan diagih kepada pelajar yang layak.

Hajiji berkata mesyuarat memutuskan untuk Fasa 1, sebanyak 10,000 komputer riba diagihkan kepada pelajar Tingkatan 5 dan 6, yang akan mengambil peperiksaan tahun ini.

Pemberian komputer riba untuk Fasa 1 itu, membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasih miskin tegar.

“Komputer riba daripada pelbagai jenama termasuk ACER, Lenovo dan DELL itu boleh digunakan sehingga melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Terdahulu, pada awal tahun ini, Hajiji memaklumkan kerajaan akan berusaha menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan berikutan pelaksanaan PdPD ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *