Tugu Peringatan Double Six Khazanah Rakyat Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

6 Jun 2021
Normimie Diun
[email protected]

KOTA KINABALU: Tragedi nahas pesawat pada 6 Jun 1976,  meragut nyawa 11 orang penumpang termasuk Ketua Menteri Sabah yang pertama, Tun Fuad Stephens dan tiga orang menterinya, hari ni genap ulangtahun ke-45 kejadian tragis yang menyayat hati itu.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kesenian Malaysia, Datuk Guandee Kohoi bersama beberapa orang Ahli Majlis Tertinggi parti STAR Sabah hadir ke tapak tugu peringatan itu semasa upacara penghormatan dan memperingati tragedi Double Six. 

Guandee berkata, Tugu Peringatan Double Six itu merupakan khazanah kebudayaan rakyat Sabah yang harus dipelihata dan sentiasa diingati.

Beliau sempat mengimbau kejadian 45 tahun yang lalu ini, di mana beliau sedang berkhidmat dengan RTM pada masa itu. Sebaik mendengar berita ini, beliau bergegas ke lokasi kejadian. 

Katanya, gambar tunggal kapal Nomad GAF N-22B yang terhempas itu diambil oleh beliau sendiri pada 6hb Jun 1976 yang lalu. 

“Peristiwa ini, sebenarnya sangat dekat dihati setiap rakyat Sabah,” tambah beliau. 

Kemalangan Double Six, juga dikenali sebagai Tragedi Double Six merupakan nahas kapal terbang yang berlaku pada 6 Jun 1976 di Kota Kinabalu, Sabah.

Kapal terbang, yang dikendalikan oleh Sabah Air, yang datang dari Labuan telah terhempas di daerah Sembulan ketika hendak menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. 

Nahas itu turut meragut nyawa semua penumpang di atas kapal penerbangan, termasuk Ketua Menteri Sabah yang pertama, Tun Fuad Stephens, Menteri Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Peter Mojuntin, Menteri Perhubungan dan Kerja Raya, Datuk Chong Tahin Vun dan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Salleh Sulong.

Turut terkorban Pembantu Menteri kepada Timbalan Ketua Menteri, Darius Binion, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Wahid Peter Andau, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah , Dr Syed Hussein Wafa, Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia Tengku Razaleigh Hamzah, Ishak Atan, Pengawal peribadi kepada Tun Fuad, Koperal Said Mohammad, Juruterbang, Gandhi J Nathan dan anak sulong Tun Fuad, Johari Tun Fuad Stephens.

Hadir sama pada upacara ulangtahun ke-45 memperingati Tragedi  Double Six itu Timbalan Presiden STARSabah Jalumin Bayogoh, Timbalan Setiausaha Agung STARSabah,Tuan Ardino Diris,  Ahli Majlis Tertinggi merangkap Penyelaras Parlimen Ranau, Datuk Jaimin Samitah, Penyelaras Parlimen STAR Kota Marudu, Dr Paul Porodong, dan Penyelaras STAR Parlimen Kudat, Pransol Tiying.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *