HomeUtamaHospital UMS Sedia Jadi PPV Sabah

Hospital UMS Sedia Jadi PPV Sabah

Read Time:3 Minute, 55 Second


KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) telah membuat persiapan rapi untuk dijadikan sebagai salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi negeri Sabah khususnya warga sekitar Kota Kinabalu.


Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ini adalah sebagai usaha UMS membantu petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). 

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin

Menurut beliau, persiapan yang dilakukan termasuklah membentuk satu jawatankuasa PPV bagi memastikan pelaksanaan proses pemberian vaksin berjalan lancar, selain pihak HUMS sendiri telah mengadakan perbincangan berterusan dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) bagi mengadakan kerjasama terhadap sebarang program berkaitan pemberian vaksin. 


“Di samping itu, beberapa petugas HUMS yang akan terlibat dalam proses pemberian vaksin juga telah mengadakan lawatan ke PPV di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah bagi melihat sendiri proses perjalanan pemberian vaksin, dan lawatan ini secara tidak langsung memberi latihan kepada mereka berkaitan proses pengendalian pemberian vaksin kelak.


“Perbincangan juga giat dijalankan dengan rakan Universiti Awam yang turut terlibat sebagai PPV,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas di radio Sabah fm bersama penyampai rancangan Christine Kakachi. 

Taufiq menambah, UMS juga amat berbesar hati untuk terlibat sebagai salah satu PPV di negeri ini serta menjayakan PICK di negeri Sabah berdasarkan kemudahan dan kepakaran yang dimiliki.


“Ini membolehkan UMS membantu mempercepatkan pemberian vaksin khusus untuk warga sekitar Kota Kinabalu sekali gus membantu mencapai sasaran 80% rakyat diberi vaksin bagi mewujudkan imuniti berkelompok dalam kalangan masyarakat.

“Kita sedia tahu bahawa jumlah atau kadar pemvaksinan di negeri Sabah adalah yang terendah di Malaysia, justeru peranan UMS sebagai PPV mampu menyumbang kepada peningkatan kadar pemvaksinan yang lebih tinggi.


“Penyediaan PICK tidak memerlukan kepakaran yang mengkhusus atau mendalam sebaliknya pemberian vaksin hanya memerlukan bilangan petugas kesihatan yang mencukupi serta kepakaran dalam aspek kecemasan dan perubatan keluarga bagi membuat penilaian pra dan pasca vaksin, dan untuk ini HUMS mempunyai bilangan kakitangan yang mencukupi dalam membantu KKM menjayakan program vaksinasi,” katanya. 

Taufiq turut memaklumkan, HUMS merupakan PPV Kategori Ke-5, iaitu PPV yang boleh memberikan suntikan dos vaksin mencecah sehingga 1,000 dos sehari. 


“Sebagai permulaan, kita menyasarkan untuk memberikan sekurang-kurangnya 500 dos vaksin sehari, dan akan terus meningkat sehingga mencecah jumlah maksimum 1,000 dos bergantung kepada jumlah stok vaksin yang diperuntukkan. 

“UMS juga dalam perancangan untuk menyediakan kemudahan pemberian vaksin secara pandu lalu,” kata Taufiq. 


Beliau turut menyeru masyarakat agar tidak ragu-ragu untuk menerima vaksin dan mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin kerana pelaksanaan program vaksinasi di negara yang telah mencapai peratusan tinggi dalam pemberian vaksin telah menunjukkan kesan yang sangat signifikan dalam mengurangkan kes-kes positif dan kadar keberjangkitan dalam kalangan rakyat mereka.


“Yang lebih utama adalah kes atau kadar kematian di negara tersebut menunjukkan trend menurun, dan ini membuktikan keberkesanan program vaksinasi bagi mengawal penularan pandemik COVID-19.


“Kita perlu sedar bahawa suntikan vaksin tidak menjadikan seseorang kebal, tetapi sekurang-kurangnya vaksin boleh mengurangkan keberangkalian seseorang individu untuk dijangkiti COVID-19 dan mengurangkan keberangkalian untuk mengalami kesan yang lebih serius sekiranya individu tersebut dijangkiti.


“Ini terbukti berlaku di negara yang mempunyai kadar vaksinasi tinggi yang menunjukkan pengurangan berlakunya kes-kes berat serta penggunaan oksigen bagi pesakit COVID-19,” katanya. 

Taufiq menegaskan program vaksinasi adalah peluang kepada masyarakat untuk memulihkan semula kehidupan kepada amalan kebiasaan sebelum ini. 


“Sekiranya PICK tidak diadakan secara besar-besaran, risikonya adalah terhadap rakyat yang perlu mengharungi pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ini bukanlah penyelesaian terbaik untuk mengawal penularan pandemik COVID-19 secara holistik dan menyeluruh. 


“Jika ini berlaku masyarakat tidak dapat untuk menjalani kehidupan dengan lebih aman dan akan menghadapi kesukaran untuk bergerak akibat pelbagai sekatan rentas daerah dan negeri, serta sukar untuk menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi,” ujar beliau. 


Dalam perkembangan lain, Taufiq memberitahu HUMS pada ketika ini sedang rancak dalam pembinaan, dan dijangka siap pada penghujung tahun 2022 serta dijangka akan mula beroperasi menjelang awal tahun 2023.


HUMS juga katanya telah memainkan peranan penting dalam mengekang penularan wabak COVID-19 dalam kampus sejak Januari 2020 lagi melalui penubukan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 yang turut melibatkan staf Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebagai persiapan berikutan UMS mempunyai ramai pelajar antarabangsa dari China.


“UMS juga turut membantu JKNS dalam membuat ujian saringan COVID-19 dan sehingga 7 Jun 2021 sejumlah 38,945 sampel ujian telah dijalankan.

“Selain menyediakan kemudahan ujian calitan kepada warga UMS dan juga orang awam, UMS turut menyediakan kemudahan makmal untuk membantu makmal kesihatan awam di Kota Kinabalu memproses jumlah sampel yang tinggi, dan hasil bantuan ini membolehkan pengesahan keputusan yang lebih cepat,” kata Taufiq. 


HUMS juga katanya telah menyediakan sukarelawan doktor pakar dan jururawat untuk bertugas di hospital KKM bagi mengurangkan beban ‘burnout’ dalam kalangan petugas barisan hadapan KKM. 

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya