Pemberian Komputer Riba Bukti Kerajaan Sabah Utamakan Kecemerlangan Akademik – Raime

Read Time:58 Second

10 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Langkah kerajaan negeri mengagihkan sebanyak 10,000 unit komputer riba kepada pelajar Tingkatan Lima dan Enam yang memerlukan membuktikan keprihatinan kerajaan negeri kepada anak-anak muda Sabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Datuk Raime Unggi, keprihatinan kerajaan yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu juga menunjukkan kerajaan Sabah mengutamakan kecemerlangan akademik.

“Program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang disalurkan kepada pelajar yang akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM); SIjil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun ini khususnya kepada golongan miskin tegar wajar disokong.

“Inisiatif ini dapat membantu mereka yang memerlukan khususnya yang tinggal dipedalaman dan sukar mendapat akses kepada internet selain memudahkan mereka menjalani proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di rumah,”katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Pada 6 Jun lalu, kerajaan negeri mengumumkan akan mengagihkan sebanyak 10,000 unit komputer riba kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM; STPM; dan STAM tahun ini membabitkan ibu bapa atau penjaga pelajar yang termasuk dalam kategori e-kasi miskin tegar.

Pemberian komputer riba yang dipersetujui kabinet itu akan dilaksanakan menerusia BAIK membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *