Sabah Catat 309 Kes COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

11 Jun 2021
Erdie Ab Wahid
[email protected]

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 76 kes iaitu daripada 233 kes kelmarin kepada 309 kes pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada 309 kes jangkitan baharu hari ini, sebanyak 143 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat.

“Manakala sebanyak 91 kes adalah daripada saringan kluster; 30 kes adalah daripada saringan bergejala; 26 kes daripada saringan bersasar dan 19 kes adalah daripada lain-lain kes.

“12 daerah telah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lima daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka manakala tujuh lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, antara daerah yang mencatatkan peningkatan kes julat dua angka iaitu Lahad Datu 32 kes (+27); Kinabatangan 26 kes (+25), Tuaran 21 kes (+17), Kota Belud 17 kes (+16), Tawau 56 kes (+14), Kudat 27 kes (+11).

Katanya, tiga daerah lain yang mencatatkan kes baharu pada hari ini iaitu Penampang (14 kes), Beaufort enam (6) kes dan Sipitang dua (2) kes kekal sebagaimana jumlah kes kelmarin.

“Walau bagaimanapun, sembilan daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes. Tujuh daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala dua daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kota Kinabalu (-26) dan Sandakan (-23).

“Pada hari ini, enam daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Tongod, Kota Marudu, Kuala Penyu, Tenom dan Keningau,”katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, trend perubahan angka bagi setiap daerah di Sabah adalah tidak statik dimana peningkatan daerah yang mencatat sifar angka pada hari ini tidak menunjukkan keadaan yang lebih meyakinkan.

“Ini berikutan hanya satu daerah yang berstatus Zon Hijau dan perubahan angka turun naik yang berlaku setiap hari di daerah-daerah bukan Zon Hijau, kesimpulan terbaik yang boleh dibuat ialah masih berlaku kebarangkalian aktiviti ketidakpatuhan yang sangat tinggi kepada SOP yang telah digariskan.

“Orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *