241 Calon SPM 2020 Sabah Peroleh Semua A

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

Kota Kinabalu :- Seramai 241 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di negeri ini memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Dr Mistirine Radin berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 0.13 peratus iaitu seramai 43 orang berbanding 198 pada tahun sebelumnya.

“Ini merupakan peningkatan tahun ketiga berturut-turut selepas seramai 152 orang pelajar calon SPM memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran pada tahun 2018.

“Daripada 66 mata pelajaran yang diambil pelajar di Sabah, 32 daripadanya mencapai 100 peratus lulus khususnya berkaitan subjek kemahiran seperti Tari, Muzik, Membuat Perabot, Pemprosesan Makanan, Grafik Berkomputer, Kimpalan Arka dan Gas serta Sains Rumah Tangga,” katanya

Dalam pada itu, Mistirine menjelaskan perbezaan jurang peratusan lulus antara sekolah bandar dengan luar bandar semakin mengecil pada SPM 2020 iaitu 0.53 peratus, satu peningkatan yang baik berbanding sebelumnya iaitu 1.34 peratus.

“Sebanyak 211 buah sekolah di Sabah terbabit dalam peperiksaan SPM 2020 dengan 60 daripadanya terletak di kawasan bandar dan mencatatkan pencapaian lulus sebanyak 91.12 peratus.

“Manakala 151 buah lagi terletak di luar bandar dengan kadar kelulusan 90.59 peratus,” katanya.

Terdahulu, beliau menjelaskan terpaksa menangguhkan pengumuman SPM 2020 bagi negeri Sabah, semalam, kerana perlu menukar format pelaporan sedia ada.

“Ia hanya membabitkan majlis pengumuman keputusan, sebaliknya calon SPM boleh mula menyemak keputusan peperiksaan bermula, semalam, sama seperti calon di negeri lain,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *