HomeUtamaJangka 100, yang hadir lebih 500 dapatkan vaksin COVID-19 di pedalaman Tambunan

Jangka 100, yang hadir lebih 500 dapatkan vaksin COVID-19 di pedalaman Tambunan

Read Time:3 Minute, 16 Second

BERNAMA
TAMBUNAN, 13 Jun  — Petugas Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di sini kaget seketika dalam masa sama teruja apabila Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di kawasan pedalaman Kampung Pahu di sini mendapat sambutan amat luar biasa daripada penduduk kampung.

Manakan tidak, pasukan itu pada awalnya menjangkakan hanya 100 hingga 200 orang akan hadir, namun lebih 500 orang penduduk kampung mendaftarkan diri sebagai penerima vaksin walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran untuk ke kampung terletak di lereng bukit berhampiran Gunung Kinabalu itu.

Malah, tinjauan Bernama mendapati akses ke kampung yang terletak kira-kira 60km dari Pekan Tambunan dan lebih 100km dari Kota Kinabalu itu bukan mudah kerana terpaksa menyusuri jalan bengkang bengkok, naik dan turun bukit selain jalan rosak yang berbahaya dengan kenderaan biasa.

Pegawai Daerah Tambunan Jumain Abdul Ghani berkata berdepan situasi itu, pasukan CITF bertindak pantas untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi mereka yang hadir sebelum mendaftarkan mereka untuk menerima vaksin.

“Ada yang hadir ini warga emas, jadi kita mahu pastikan golongan yang berisiko ini tidak mendapat jangkitan kerana tidak mematuhi SOP, mukim ini ada 16 kampung jadi bila lihat orang kampung ini datang ramai awalnya rasa risau juga tetapi saya gembira kerana ramai mahu divaksin.

“Ini menunjukkan tahap kesedaran (vaksinasi COVID-19) mereka ini amat tinggi walaupun mereka tinggal di kawasan pedalaman, sudah tentu saya sebagai orang diberi amanah menjaga mereka amat lega dan bersyukur kerana vaksin ini penting untuk lindungi mereka,” katanya kepada Bernama.

Jumain berkata berikutan sambutan luar biasa itu pihaknya akan berusaha mendapatkan lebih banyak slot pemberian vaksin di kampung-kampung daerah itu melalui Program Outreach Vaksinasi COVID-19 dan berharap pemimpin setempat dapat memain peranan memastikan penduduk kampung divaksin.

Bernama mendapati 300 dos dibawa CITF pada program itu laku bagai ‘pisang goreng panas’ apabila mula diberikan pada 9 pagi habis sekitar 3 petang, manakala mereka yang tidak berjaya mendapatkan vaksin didaftar terlebih dahulu dan akan diberikan maklumat mengenai program seterusnya.

Ketua Kampung Nukakatan Nicholas Kamun berkata beliau dan keluarganya mengambil vaksin itu kerana percaya vaksin COVID-19 mampu melindungi mereka walaupun terdapat banyak khabar angin dan cakap-cakap bahawa vaksin itu memudaratkan.

Nichalos, 69, berkata kerajaan telah sekian lama memberikan pelbagai vaksin kepada rakyat sejak dari bayi sehingga dewasa bagi melindungi daripada jangkitan penyakit, maka vaksin COVID-19 ini adalah perkara yang sama dan rakyat harus menaruh kepercayaan terhadap usaha kerajaan ini.

“Saya juga terangkan kepentingan vaksin ini kepada penduduk kampung dan saya nasihatkan jangan fikir terlalu banyak sehingga tolak vaksin, jika tidak dapat vaksin baru betul memudaratkan kerana mereka menjadi pembawa COVID-19 menjangkiti orang lain selain boleh mengancam nyawa,” katanya.

John Dunggi Gulut, 90, seorang pesara berkata beliau tidak takut untuk mendapatkan vaksin kerana amat memahami kepentingan vaksin itu dan menyeru orang ramai terutama masyarakat yang tinggal di bandar untuk mendapatkan vaksin tersebut.

“Saya ini sudah tua dan tinggal di kampung lama sudah, tetapi bila kerajaan panggil ambil vaksin saya tidak takut, terus saya datang ambil…hairan saya mengapa orang bandar ini ada yang takut mahu divaksin sehingga sebar cerita tidak betul, kami ini baik sahaja ambil vaksin tiada masalah,” katanya.

Rohani Bukatan, 39, seorang Pembantu Tadbir di sebuah sekolah rendah di sini berkata pada awalnya beliau berasa takut dan berdebar untuk hadir mendapatkan vaksin, namun perasaan itu hilang apabila diberi penerangan lengkap oleh pasukan CITF sebelum mendapatkan vaksin itu.

“Bila dapatkan vaksin, hati rasa lega kerana kerja saya ini selalu juga jumpa orang ramai terutama anak-anak jadi pelajar sekolah, saya takut jadi penyebar virus ini jadi saya nekad dapatkan vaksin…bagus saya tiada rasa apa-apa semua baik sahaja bila selesai suntik,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

AJ Productions Sdn. Bhd tarik diri kerjasama penganjuran BOHEX

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular