MAFI Sasar 10 Peratus Perairan Negara Dilindungi Sebagai Kawasan Perlindungan Marin

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) komited memastikan 10 peratus perairan negara dilindungi sebagai Kawasan Perlindungan Marin atau melalui kaedah-kaedah pengurusan kawasan yang berkesan menjelang 2030.

Sasaran itu yang bersempena dengan Hari Laut Sedunia dan Hari Segitiga Terumbu Karang adalah selaras dengan obligasi di bawah Matlamat Pembangunan Lestari, Dasar Agromakanan Negara 2.0 dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.

Menurut MAFI dalam kenyataannya berkata , komitmen tersebut juga selaras dengan kriteria penilaian di bawah Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) yang sehingga kini hanya 5.3 peratus perairan negara dilindungi serta sebahagian besar Kawasan Perlindungan Marin terletak di perairan Sabah dan Sarawak. 

“Bagi mencapai sasaran ini, kementerian melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Taman Laut. 

“Bagi memperoleh sokongan pihak berkepentingan, Jabatan Perikanan Malaysia melaksanakan sesi-sesi konsultasi bersama penduduk setempat, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan,” katanya.

Menurut MAFI, bagi mengimbangi pembangunan dan teknologi terkini, program-program pengurusan sumber marin akan dipertingkat serta mengekal dan menambah baik Kawasan Perlindungan Marin sedia ada bagi memastikan Malaysia kekal relevan sebagai negara maju serta seimbang dalam pembangunan dan alam sekitar.

Sehubungan itu, MAFI menyeru kerajaan-kerajaan negeri berganding bahu dengan kerajaan persekutuan untuk merealisasikan sasaran tersebut.

“Pada kesempatan ini, kementerian ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor yang telah meluluskan pewartaan Taman Laut baharu di perairan Mersing iaitu Kepulauan Lima dengan keluasan 299 km persegi,” katanya.

Menurut MAFI, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM70 juta pada tahun ini sebagai insentif melalui instrumen “Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation” (EFT) bagi menyokong pelaksanaan program serta projek pemuliharaan biodiversiti.

Katanya, ia juga bagi menggalakkan pewartaan lebih banyak kawasan perlindungan oleh kerajaan negeri.

Selain itu, MAFI memaklumkan industri perikanan negara menyumbang RM13.84 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2020 dengan perkhidmatan ekosistem marin di taman-taman laut pula dianggarkan menyumbang sebanyak RM8.7 bilion setahun.

Hari Laut Sedunia dipersetujui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk disambut pada 8 Jun setiap tahun, manakala negara-negara di bawah Inisiatif Segitiga Terumbu Karang pula menetapkan 9 Jun sebagai Hari Segitiga Terumbu Karang.

Menurut MAFI, Malaysia merupakan antara 17 negara di dunia yang disenaraikan sebagai Negara Biodiversiti Mega dan terletak dalam lingkungan perairan segitiga terumbu karang atas kepelbagaian biologi yang tinggi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.