Kerajaan Digesa Laksana Pemberian Vaksin Di Lokaliti PKPD

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan digesa untuk turut melaksanakan pemberian vaksin kepada penduduk di lokaliti yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi membantu mempercepatkan lagi proses vaksinasi khususnya di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pendekatan itu dilihat antara kaedah terbaik bagi meningkatkan lagi bilangan penerima vaksin sekaligus mempercepat dan meningkatkan lagi imuniti kelompok di kawasan PKPD.

“Usaha ini wajar diberi perhatian memandangkan penduduk dan masyarakat di kawasan PKPD adalah golongan berisiko dan sekiranya tidak dilaksanakan ia dikhuatiri akan mencetuskan lagi kluster baharu.

“Pemberian vaksin ini juga harus diberikan kepada penduduk yang mendapat keputusan negatif COVID-19 bagi memastikan mereka mempunyai ‘perlindungan diri’ sekaligus mengawal daripada wabak ini merebak setelah PKPD tamat,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pandangan mengenai proses vaksinasi di negeri ini bagi mempercepat usaha pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, pihaknya turut mencadangkan agar program pemberian vaksin di kawasan PKPD dilaksanakan serentak ketika menjalani ujian calitan pengesanan COVID-19.

“Memandangkan petugas kesihatan akan berada dilapangan iaitu di lokaliti PKPD, saya mencadangkan agar proses pemberian vaksin juga dijalankan serentak setelah mereka disahkan negatif COVID-19.

“Jika ujian pengesanan COVID-19 dan juga pemberian vaksin dilaksanakan pada satu masa, bukankah ini lebih mempercepatkan usaha kita membentuk imuniti berkelompok dan tidak mustahil mampu menurunkan bilangan kes COVID-19 di negeri ini,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *