COVID-19 : 2 Lokaliti PKPD Di Sabah Dilanjutkan, 5 Lagi Ditamatkan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokasi di Sabah dilanjutkan selama dua minggu lagi bermula Sabtu ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua lokasi itu membabitkan PKPD Kawasan Semarak Tawau dan PKPD Kampung Pengaraban Kudat.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di dua lokasi berkenaan yang dijadualkan tamat pada 18 Jun ini dan mendapati masih berlaku penularan di kalangan penduduk serta terdapat kes baharu direkodkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah melakukan 486 ujian saringan dan 102 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 di kawasan Semarak Tawau,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, KKM juga turut melakukan 109 ujian saringan dan 45 daripadanya dilaporkan positif COVID-19 di kawasan PKPD Kampung Pengaraban Kudat.

“Justeru itu, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan negeri bersetuju melanjutkan PKPD di dua kawasan ini bermula Jumaat ini sehingga 2 Julai depan selaras dengan keputusan kerajaan pusat,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Masidi berkata, sebanyak lima kawasan lokaliti di Kota Kinabalu dan Tawau akan ditamatkan mengikut jadual pada 17 Jun (11.59 malam) dan 18 Jun (11.59 malam) ini.

Katanya, antara kawasan yang ditamatkan adalah di Kampung Tanjung Aru Baru dan Rumah Murah Kepayan di Kota Kinabalu pada 17 Jun manakala tiga lagi kawasan di Tawau adalah Taman Milenium; Taman Wawasan dann Kampung Jawa Kongsi 10 pada 18 Jun ini.

“KKM mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *