Pelan Pemulihan Negara: Felcra kerjasama dengan MoF, MKD, KPLB

Read Time:1 Minute, 17 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menjalankan usaha berhubung Pelan Pemulihan Negara.

Pengerusi Felcra Yamani Hafez Musa berkata Felcra memberikan komitmen untuk memastikan keperluan asas demi kesinambungan peserta dan masyarakat sekeliling setiap projek Felcra diberikan keutamaan.

“Ia agar mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 terutamanya mereka yang hilang punca pendapatan dapat disantuni secara bersasar dan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang diyakini dapat mengembalikan penghidupan harian biasa menjelang akhir tahun termasuk mengadakan semula sesi persidangan Parlimen pada September atau Oktober dan ia merangkumi empat fasa melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata Felcra membantu peserta yang mengalami kepayahan akibat pandemik secara berperingkat dan berterusan, bermula dengan penyediaan peruntukan bantuan bakul makanan berjumlah RM500,000 untuk diagihkan kepada 10,000 peserta di 38 kawasan penempatan Felcra.

“Usaha kolaborasi dengan pihak berwajib untuk inisiatif Program Vaksinasi Berkelompok juga telah dimulakan di 38 kawasan penempatan tersebut supaya 112,337 peserta dan ahli keluarga di luar bandar menerima vaksinasi,” katanya.

Sepanjang empat fasa Pelan Pemulihan Negara itu, Felcra Berhad boleh dihubungi melalui talian Hotline 1-800-22-5050 atau 03-4145 5000.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.