COVID-19 : Hadir Majlis Hari Jadi Antara Punca Kluster Di Tawau, Satu Lagi Kluster Dikesan Di Kota Kinabalu

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan dua lagi kluster baharu dimana salah satu kluster berpunca dari majlis hari jadi yang diadakan di rumah kes indeks di Tawau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara kluster baharu yang dikesan hari ini adalah Kluster Samedra Kota Kinabalu dan Kluster Serudung Baru Tawau.

“Bagi Kluster Serudung Baru Tawau yang berkait rapat dengan majlis hari jadi ini turut dihadiri ahli keluarga pada 12 Jun lalu dimana kes indeks merupakan warga emas lelaki berusia 60 tahun.

“Warga emas berkenaan telah disahkan positif pada 16 Jun di Klinik Kesihatan Apas Balung setelah bergejala sejak 13 Jun,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, susulan kes itu, saringan kontak pada 20 Jun mendapati sembilan individu dalam kalangan jemputan majlis terbabit dikesan positif.

Katanya, sehingga hari ini, sembilan lagi kes positif direkodkan menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 19 kes.

“Aktiviti pegesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,”katanya.

Sementara itu, bagi Kluster Samedra Kota Kinabalu, Masidi berkata, ia melibatkan penularan jangkitan dalam kalangan kakitangan pelantar minyak iaitu di Platform FPSO KIKEH.

Katanya, kes indeks merupakan penyelia lelaki berusia 35 tahun yang mula bergejala sejak 12 Jun sebelum disahkan positif COVID-19 hasil saringan pekerjaan pada tarikh sama di klinik swasta.

“Turut dikesan positif ialah 24 kontak dalam kalangan rakan sekerja kes indeks, menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 25 kes. Aktiviti saringan dan kawalan masih giat dijalankan,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *