Tidak Mahu Divaksin ? Ini Kata Presiden Duterte Kepada Rakyat Filipina

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

REUTERS

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte mengugut akan menghantar rakyatnya yang enggan menerima vaksin Covid-19 ke penjara, ketika Filipina bergelut dengan pandemik itu dengan lebih 1.3 juta kes dan lebih 23,000 kematian dilaporkan setakat ini.

“Anda pilih, vaksin atau saya akan penjarakan anda,” kata Duterte dalam ucapan yang disiarkan di televisyen semalam susulan kadar kehadiran rendah di beberapa lokasi vaksinasi di ibu negara Manila.

Kenyataan Duterte bercanggah dengan pegawai kesihatannya yang berkata, walaupun rakyat digesa menerima vaksin Covid-19, ia atas dasar sukarela.

“Jangan salah faham, terdapat krisis di negara ini.

“Saya jengkel dengan warga Filipina yang enggan mendengar nasihat kerajaan,” kata Duterte.

Setakat Ahad lalu, pihak berkuasa Filipina memberikan vaksin penuh kepada 2.1 juta orang, kemajuan perlahan ke arah mencapai sasaran 70 juta daripada 110 juta populasi di negara itu divaksin tahun ini.

Duterte, yang dikritik kerana pendekatan kerasnya untuk membendung virus itu, bertegas dengan keputusannya tidak membenarkan sekolah dibuka semula.

Dalam kenyataan sama, beliau membidas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), selepas seorang pendakwa raya ICC mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mengadakan inkuiri penuh ke atas pembunuhan dalam kempen perang dadah di Filipina.

Duterte, pada Mac 2018 membatalkan keahlian Filipina dalam perjanjian pengasas ICC, mengulangi beliau tidak akan bekerjasama dalam siasatan itu dan menyifatkan ICC “mengarut”.

“Mengapa saya perlu mempertahankan diri atau didakwa di depan orang kulit putih? Anda mesti gila,” kata Duterte, yang melancarkan kempen antinarkotik membunuh ribuan orang, selepas memenangi jawatan presiden pada 2016.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, pihak berkuasa terus membunuh suspek dadah, tetapi Duterte mempertahankan individu dibunuh dengan kejam melawan ketika penahanan.

Jurucakap ICC, Fadi El Abdallah berkata: “Mahkamah ialah institusi kehakiman bebas dan tidak mengulas kenyataan politik.”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *