COVID-19 : 1 Kematian, 270 Sembuh Dan 156 Kes Baharu Direkodkan Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU : Satu kes kematian akibat COVID-19 direkodkan di Sabah membabitkan daerah Tawau manakala kes sembuh lebih tinggi berbanding kes baharu iaitu sebanyak 270 kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif COVID-19 di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 47 kes iaitu daripada 203 kes semalam kepada 156 kes hari ini.

“Daripada 156 kes jangkitan baharu hari ini, 87 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 29 kes adalah daripada saringan kluster, 18 kes adalah daripada saringan bergejala, sembilan kes daripada saringan bersasar dan 13 kes adalah daripada lain-lain kes.

“12 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes dimana sembilan daerah mencapai penurunan kes dengan julat satu angka, manakala tiga daerah lagi menunjukkan penurunan pada julat dua angka iaitu Kinabatangan (-29), Kalabakan (-24) dan Penampang (-14),” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, walau bagaimanapun, 10 daerah mencatatkan peningkatan kes hari ini dengan lapan daerah mencatatkan peningkatan kes pada julat satu angka, manakala dua lagi daerah lain mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka iaitu Tawau 42 kes (+24) dan Kunak 13 kes (+13).

Katanya, daerah Telupid kekal catatan kes baharu sebagaimana hari semalam iaitu dengan satu kes.

“Pada hari ini, tujuh daerah mencatatkan sifar kes iaitu Beluran, Kinabatangan, Kalabakan, Ranau, Kuala Penyu, Tenom dan Tambunan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, data keseluruhan pada hari ini ialah empat daerah mencatatkan kes pada julat dua angka manakala daerah lain hanya pada julat satu angka, 10 daerah mencatatkan kenaikan kes, 12 daerah mencatatkan penurunan kes, lima daerah kekal sebagaimana catatan hari semalam

“Selain itu empat daerah adalah sifar kes, tujuh daerah mencatatkan sifar kes, dua daerah (Beluran dan Tenom) sebagai Zon Hijau, dan tiga kluster merekodkan catatan kes yang agak aktif iaitu Kluster Kg Nelayan Tengah sembilan kes, Kluster Serudung Baru sembilan kes serta Kluster Kg Bolong Baru lima kes.

“Terdapat trend pelandaian kes jangkitan baharu harian serta daerah Zon Hijau kekal kepada dua daerah kini namun, dengan jumlah catatan sebanyak 87 kes daripada Saringan Kontak Rapat, dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak Kerajaan.,”katanya.

Katanya, orang ramai digesa untuk kekal berada di rumah dan bagi mereka yang bekerja, hadkan pergerakan kerana kebergantungan penurunan kes atau jangkitan baharu adalah sangat dipengaruhi oleh sejauh mana komuniti mematuhi SOP Kendiri dan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *