Kerajaan Sabah Memperkenal Program Daftar Dan Suntik Vaksin COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 43 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memperkenalkan Program Daftar dan Suntik (walk-in) selain mewujudkan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembukaan lebih banyak PPV termasuk melaksanakana Program Outreach Vaksinasi COVID-19 diyakini mampu mencapai sasaran 30,000 orang akan divaksinasi setiap hari bermula bulan depan.

“Walaubagaimanapun, proses vaksinasi bergantung kepada bekalan vaksin dimana bekalan vaksin kepada negara kita masih rendah kerana pengeluar tidak mampu menampung permintaan diseluruh dunia dan pengeluar hanya boleh membekalkan vaksin secara perlahan dalam jumlah yang kecil.

“Kadar kemampuan Sabah untuk memberi vaksin ialah sekitar 30,000 dos sehari dan boleh dipertingkatkan tetapi buat masa ini kita terpaksa perlahankan pada kadar 12,000 ribu hingga 13,000 dos sehari kerana bekalan vaksin yang tidak mencukupi,”katanya.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 berkata, pengeluar vaksin telah bersetuju meningkatkan pembekalan dan penghantaran vaksin ke negara kita pada bulan depan dan Ogos ini.

Katanya, Sabah akan menerima 729,000 vaksin pada bulan Julai dan 1.1 juta vaksin pada bulan Ogos.

“Bekalan ini akan membolehkan Sabah meningkatkan lagi pemberian vaksin kepada semua warganegara,”katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, hampir seluruh dunia mengadu kekurangan vaksin dimana pengeluaran vaksin dimonopoli oleh negara-negara maju dan negara lain terpaksa meminta ihsan kepada negara pengeluar dan syarikat pengeluar.

“Malaysia telah menempah dan membayar 120 peratus keperluan vaksin kita, tetapi syarikat pengeluar vaksin tidak mampu menghantar bekalan (yang kita sudah bayar) sekali gus. Jumlah dan kadar penghantaran bergantung kepada kemampuan kilang syarikat pengeluar.

“Secara purata hanya sekitar 10 peratus penduduk negara kita  telah menerima dos kedua. Sabah cuma  4 peratus tetapi jumlah penerima lebih ramai daripada banyak negeri yang peratusan penerima lebih tinggi daripada Sabah kerana penduduk kita lebih ramai,”katanya.

Tambahnya, terdapat negeri tertentu yang telah dibekalkan dengan jumlah vaksin yang lebih banyak daripada negeri-negeri lain kerana pertimbangan kadar jangkitan mereka lebih tinggi daripada Sabah.

“Keseluruhan penduduk Labuan akan diberi vaksinasi lebih awal kerana adanya varian Delta (Indian variant) disana yang lebih merbahaya dan merebak lebih cepat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *