RANAU: Seramai 339 orang lagi penduduk daerah ini selesai melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Dewan Masyarakat di sini pada Ahad lalu.
Pegawai Perubatan Jabatan Kesihatan Ranau, selaku penyelaras program tersebut, Dr.Edwaider Koimon memberitahu mereka yang menerima suntikan dos kedua jenis Sinovac itu adalah yang telah menerima suntikan dos pertama pada 5 Jun lalu.
“Kita mengharapkan kepada mereka yang belum mendaftar bagi mendapatkan suntikan pertama supaya mendaftarkan diri untuk menerima imunisasi vaksin Covid-19 sebagai benteng diri sendiri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan Covid-19 yang kini masih menular seluruh dunia”, jelas Edwaider.
Menurutnya lagi, pelbagai program termasuk ‘Outreach’ yang akan dilaksanakan di peringkat luar bandar untuk kemudahan mereka yang agak sukar datang ke pekan Ranau bagi tujuan mendaftar dan mendapatkan imunisasi vaksin Covid-19.