AIM Sumbang Bakul Kasih Kepada Penduduk Terjejas PKPD

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:59 Second

BEAUFORT : Sebanyak 127 beg berupa bakul kasih Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disumbangkan kepada penduduk terjejas di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kukut.

Sumbangan yang disampaikan Pengerusi Eksekutif AIM Malaysia Datuk Seri Lajim Ukin itu diserahkan kepada Penolong Pegawai Daerah Beaufort Karim A.M Zahari dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias Datuk Isnin Aliasneh.

Lajim berkata, sumbangan berkenaan adalah sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat (CSR) AIM bagi membantu penduduk yang terjejas akibat pandemik COVID-19 termasuk yang berada dalam kawasan PKPD.

“Ini adalah sebahagian daripada CSR kita kepada rakyat yang terjejas khususnya mereka yang dilanda musibah serta berdepan cabaran ketika pandemik COVID-19.

“Kita akan meneruskan program seumpana ini pada masa akan datang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan yang disalurkan melalui Pejabat Daerah Beaufort selaku urusetia Majlis Keselamatan Negara (MKN) daerah Beaufort.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD selama dua minggu di Kampung Kukut bermula Jumaat lalu hingga 8 Julai depan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes telah meningkat dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.

Pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan KKM melakukan saringan, menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *