BSP3.0 : 4,234 Penjaja Kecil Terima Bantuan One-Off Sumbangan Kerajaan Sabah

Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU : Seramai 4,234 individu yang mendaftar dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menerima Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 3.0 secara one-off sebanyak RM300 melibatkan peruntukan sebanyak RM1,270,200.

Majlis penyerahan bantuan itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam Majlis Penyerahan BSP 3.0 di Dewan Masyarakat pagi tadi.

Selain itu, beliau turut menyerahkan bantuan Bakul Makanan yang akan diagihkan kepada golongan kategori B40; E-kasih; Home Quarantine dan Bantuan AM Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang bernilai RM100 bagi setiap bakul dengan peruntukan sebanyak RM1,178,500.

Ketika ini sebanyak 11,785 bakul telah diedarkan dan sehingga kelmarin sebanyak RM653,600 telah diagihkan kepada 6,536 orang di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Yakub Khan; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmy Yahya; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Sr. Safar Untong dan Datuk Bandaraya Kota Kinabalu Noorliza Awang Alip.

Hajiji turut menyerahkan Bantuan Sewa Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan peruntukan RM245,016 melibatkan seramai 478 penyewa yang mendaftar dengan DBKK.

Daripada jumlah itu sebanyak 432 penyewa tinggal di Taman Keramat dan 46 Penyewa lagi di Taman Kurnia Jaya.

Peruntukan pengecualian sewa PPRT telah disalurkan kepada DBKK melalui Jabatan Pengurusan Harta untuk pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan bagi tahun 2021.

Dengan pengiraan RM174 setiap bulan, selama tiga bulan pengecualian menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM522 bagi setiap penyewa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.