MOTAC -KEPKAS Bekerjasama Jayakan Program Vaksinasi Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS) dalam usaha menjayakan program Vaksinasi seiring dengan Pelan Pemulihan Pelancongan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin dalam satu perbincangan khas bersama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Guandee Kohoi pagi tadi berkenaan dengan program vaksinasi di negeri Sabah untuk sektor pelancongan.

Kata Jafry, sehingga kini, MOTAC Sabah telah menerima lebih 3 ribu permohonan daripada pengusaha industri pelancongan dari seluruh daerah dan sesi libat urus antara MOTAC dan KEPKAS berhubung penggunaan fasiliti bersesuaian yang dapat dijadikan Pusat Pemberian Vaksin.

“Inisiatif ini akan menjadi pemangkin bagi industri pelancongan untuk kembali bangkit, seterusnya membantu kerajaan negeri dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

“Pemain industri pelancongan adalah juga merupakan petugas barisan hadapan bagi sektor pelancongan dan seharusnya mereka juga turut diberi keutamaan,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar pihak MOTAC mengeluarkan satu “tagging” khas “saya sudah divaksin” untuk pengusaha industri pelancongan termasuk pekerja atau staf di sesebuah pusat pelancongan.

Ia bagi memberi keyakinan kepada pengunjung yang datang sekaligus menjadi harapan buat sektor pelancongan negeri Sabah untuk kembali rancak.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada semua penggiat industri pelancongan untuk segera tampil mendaftar dengan MOTAC bagi memastikan Pelan Pemulihan Pelancongan berjalan dengan lancar seterusnya mampu mencapai sasaran 80% imuniti kelompok negara menjelang Oktober depan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *