Penjenamaan semula Warisan Harta Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 31 Second

KOTA KINABALU: Cabang pelaburan strategik kerajaan negeri, Warisan Harta Sabah Sdn Bhd telah dijenamakan semula sebagai Qhazanah Sabah, menunjukkan tanda sokongannya kepada Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Penjenamaan semula ini menunjukkan komitmen kuat Qhazanah Sabah untuk
mencapai objektifnya mengubah Sabah menjadi negeri yang progresif dan membangun di Malaysia,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri agar Qhazanah Sabah terus unggul dan menyumbang kepada pembangunan Sabah,” katanya pada majlis pelancaran penjenamaan semula syarikat itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) dekat sini, pada Khamis.

Syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) itu yang ditubuhkan pada 6 April 1995, adalah hasil buah fikiran Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Objektif utamanya adalah untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sabah dan mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membayar dividen lebih daripada RM200 juta kepada kerajaan negeri sejak ia ditubuhkan, sementara itu turut aktif memperuntukkan dana bagi pertumbuhan perniagaan dan pelaburan.

Qhazanah Sabah menjana pendapatan dari anak syarikatnya dengan usahasama perniagaan bermula daripada tadbir urus dan perkhidmatan pelabuhan, kewangan, telekomunikasi, pemilikan kenderaan bermotor dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pengangkutan, pengurusan tenaga diperbaharui, pembangunan hartanah serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan.

Perniagaan terbaharunya ialah penjenamaan semula salah satu anak syarikat milik penuhnya, Kojasa Holdings Berhad yang akan melancarkan kedai runcit platform digitalnya yang dikenali sebagai KOJASA Mart, kerjasama dengan Epost Express (Sabah).

Qhazanah Sabah juga menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Go Auto Holdings Sdn Bhd dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd untuk meneroka peluang perniagaan dalam sektor pengangkutan serta pembuatan automotif.

Ini telah membuktikan kemampuannya untuk mencipta dan menyesuaikan syarikat itu dalam masa yang mencabar ini untuk mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan sejajar dengan matlamatnya untuk mempelbagaikan Belanjawan negeri.

Salleh juga menyampaikan logo Qhazanah Sabah yang melambangkan kekuatan dan pulangan kukuh diterjemahkan melalui tulisan blok bulat menjulu ke luar untuk membentuk huruf “Q” kepada Ketua Menteri.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *