Kerja Baik Pulih Laluan Kereta Api Tenom-Pangi Dan Rayoh Sedang Berjalan

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU:  Perkhidmatan kereta api bagi laluan Tenom-Pangi dan Rayoh ditutup sementara waktu berikutan kerosakan teruk pada landasan akibat banjir yang melanda kawasan itu pada penghujung Mei lalu.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beberapa kerosakan besar dikesan beberapa kawasan landasan selain tebing runtuh di KM 114 Rayoh; KM124 dan KM130 Pangi dan akan mengambil masa untuk dipulihkan.

“Kerja-kerja kecemasan bagi membaiki landasan tersebut sedang berjalan dan dijangkakan siap dalam tempoh dua bulan.

“Bagaimanapun kita berharap kontraktor pelaksana akan dapat membuat kerja memindahkan (realignment) landasan sementara agar perkhidmatan dapat berjalan seperti biasa,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan penduduk khususnya di Pangi yang tular di media sosial kerana terpaksa menggunakan motorsikal troli atau troli haram sebagai kenderaan keluar ke pekan berhampiran bagi membeli keperluan dan mengeluarkan hasil tanaman untuk dipasarkan.

Katanya, bagi mengatasi masalah ini, Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) telah menyediakan Troli Pemeriksaan di dua kawasan iaitu di Rayoh dan Pangi bagi menggantikan perkhidmatan keretapi penumpang.

“Hanya Troli Pemeriksaan sahaja yang boleh melalui kawasan landasan yang rosak dari tempat asal ke KM135 sebelum menaiki DMU dari KM135 hingga ke Tenom,”katanya.

Dalam pada itu, Bung berkata, troli berkenaan hanya boleh dinaiki dengan kapasiti enam hingga lapan orang penumpang  sahaja dan troli ini bersedia sebagai pengangkutan penduduk bagi kes-kes kecemasan sepanjang 24 jam.

“Orang ramai khususnya di kawasan terlibat boleh berhubung dengan JKNS di kawasan berkenaan sekiranya berlaku kes-kes kecemasan.

“JKNS sedang berusaha untuk menambah bilangan Troli Pemeriksaan di kawasan terjejas dan ianya beroperasi mengikut jadual perkhidmatan sediakala kereta api Rayoh-Tenom dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,”katanya.

Sehubungan itu, Bung berharap penduduk yang terlibat bersabar kerana apa yang berlaku ini sukar dijangka disebabkan faktor bencana alam, bagaimanapun JKNS sedang bertungkus lumus  untuk menyelasaikan dan memperbaiki  landasan agar perkhidmatan kereta api pulih seperti sediakala.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.